Jurulatih Croatia jadi calon pilihan ganti Nafuzi Zain sebagai pengendali TFC?


  • Podium
  • Jumaat, 03 Dis 2021

STEINBRUCKNER pernah mengemudi pasukan T-Team pada 2015 dan membawa pasukan itu ke kancah saingan Liga Super. — Foto kredit: NK BSK Bijelo Brdo

PASUKAN Liga Super, Terengganu FC (TFC) dikhabarkan bakal berpisah dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain bagi saingan musim depan.

Kontrak Nafuzi bersama TFC tamat pada 1 Disember lalu dan perbicangan mengenai kontrak baharu dilaporkan masih belum mencapai kata putus sehingga hari ini.

Jurulatih dari Kelantan itu merupakan satu-satunya jurulatih tempatan yang tersenarai dalam senarai calon akhir bagi kategori Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021, bersama-sama jurulatih KL City FC, Bojan Hodak serta jurulatih Johor Darul Takzim, Benjamin Mora.

Sejak beberapa hari lalu, nama jurulatih Croatia, Tomislav Steinbruckner disebut-sebut bakal menggantikan Nafuzi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kelab Liga Bolasepak Kedua Croatia, NK BSK Bijelo Brdo pada Khamis mengumumkan perletakan jawatan Steinbruckner sebagai ketua jurulatih kelab itu.

Perkembangan itu menghangatkan lagi spekulasi bahawa jurulatih itu bakal ke Kuala Terengganu bagi saingan musim hadapan.

Jurulatih berusia 55 tahun itu bagaimanapun bukanlah asing dalam arena bola sepak tempatan dan juga Terengganu kerana pernah mengendalikan skuad T-Team, yang kini dikenali sebagai Terengganu FC II, pada 2015.

Ketika bersama T-Team, beliau menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga, seterusnya dinaikkan pangkat ke Liga Super menerusi saingan play-off.

Pada musim 2020/21, Steinbruckner berjaya membantu NK BSK Bijelo Brdo menduduki tangga ketiga dalam saingan liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram