SELEPAS melepaskan peledak berbisa, Ifedayo Olusegun ke Melaka United, Selangor FC kini sedang giat mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang kelahiran Nigeria itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Seri Justin Lim sebelum ini mengesahkan bahawa penyerang berusia 30 tahun itu bakal memperkuat pasukan itu bagi saingan Liga Super musim hadapan.
Majoriti difahamkan, tumpuan Selangor kini terarah ke Liga Thai bagi mendapatkan penggempur baharu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaring terbanyak Liga Super 2021 itu.
Nama dua penyerang Brazil, Dennis Murillo dan Derley dikatakan sedang diintai oleh pengurusan Selangor bagi menggantikan tempat Ifedayo selaku penyerang utama pasukan.
Murillo kini beraksi bersama pasukan Chonburi manakala Derley pula merupakan penyerang bagi skuad Ratchaburi.
Pada musim ini, Murillo sedang mempamerkan aksi cemerlangnya bersama pasukan apabila meledak lapan gol dan tujuh bantuan gol dalam 14 perlawanan liga.
Derley juga tidak kurang hebatnya dengan sembilan gol dan satu bantuan gol dalam 15 perlawanan liga.
Bagaimanapun, pengurusan Selangor difahamkan lebih berminat untuk membawa Murillo ke Stadium Shah Alam disebabkan usianya yang lebih muda.
Selangor sebelum ini dikhabarkan berminat untuk membawa masuk seorang lagi penyerang kelahiran Brazil yang bermain untuk Bangkok United, Heberty Fernandes, namun rundingan bersama pemain itu gagal selepas dia memilih untuk terus bersama kelab tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram