Rugi jika Wan Zack kembali ke Kelantan


  • Podium
  • Jumaat, 03 Dis 2021

WAN Zack dikhabarkan mahu beraksi semula bersama Kelantan FC musim depan. — Gambar hiasan/Agensi

KELANTAN FC dilaporkan mahu mengikat semula kontrak bersama bekas pemainnya, Wan Zack Haikal Wan Noor pada saingan Liga Super musim depan.

Bekas pemain kebangsaan berusia 30 tahun itu pernah beraksi bersama Kelantan selama tiga tahun dari 2014 hingga 2016.

Ketibaannya di Kelantan ketika itu terjadi selepas melalui tempoh suram bersama kelab Jepun, FC Ryukyu setahun sebelum itu.

Bersama Kelantan, Wan Zack hanya bermain 41 perlawanan dan menjaringkan lapan gol sahaja kerana mengalami masalah kecederaan.

Pemain itu kemudiannya berpindah ke Felda United dan kini bersama Selangor FC. Di Selangor FC, Wan Zack hanya berjaya meledak satu gol sejak bersama kelab itu pada 2018.

Gol tunggal Wan Zack itu terhasil menerusi satu sepakan cantik percuma dan ia merupakan gol kemenangan Selangor semasa menewaskan Perak FC 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Malaysia 2021 pada 10 November.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada karier Wan Zack akan kembali menyinar bersama Kelantan pada musim depan atau sebaliknya.

Selain itu, apakah nasib pemain muda Kelantan jika Wan Zack kembali ke pasukan berkenaan kelak. Ketika ini, Kelantan memiliki pemain muda seperti Syafiq Heelmi dan Haziq Subri di bahagian sayap kiri.

Malahan, Kelantan juga memiliki pemain import Natanael Siringoringo yang mampu beraksi di kedua-dua bahagian sayap.

Di samping itu, adakah Wan Zack Haikal akan mendapat tempat dalam pasukan Kelantan memandangkan dia bergelut dengan isu kecederaan yang melanda dirinya sejak sekian lama.

Dari sudut positif, Wan Zack Haikal berkemungkinan menjadi mentor kepada para pemain muda Kelantan bagi mengembalikan semula prestasi pasukan tersebut musim depan. Musim ini, Kelantan hanya menduduki tangga keenam Liga Super.

Kebanyakan pemain Kelantan masih berusia bawah 30 tahun, hanya Zubir Azmi dan Farizal Harun sahaja yang menginjak usia 30-an.

Tentunya, ketua jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya akan menggunakan segala pengalaman daripada Wan Zack Haikal untuk membimbing skuad berkenaan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram