Baddrol, Farizal bersaing sengit gelaran MVP ABK2021


  • Podium
  • Sabtu, 04 Dis 2021

BADDROL (kiri) dan Farizal (kanan) dilihat sebagai dua calon yang mempunyai peluang cerah bagi merangkul anugerah MVP ABK2021. — Instagram

ANUGERAH Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK2021) akan berlangsung secara maya pada Sabtu pastinya akan menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.

Sebanyak 16 kategori akan dipertandingkan dengan pemenang bagi beberapa kategori seperti seperti Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Perdana dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana sudah diketahui pemenangnya apabila kedua-dua pertandingan berakhir September lalu.

Kategori lain termasuk Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik dan Pemain Import Terbaik yang akan diundi oleh 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan Liga Super dan Perdana serta 23 wakil media.

Selain itu, turut dipertandingkan adalah anugerah Pasukan Terbaik, Fair Play dan juga XI Peminat yang diputuskan menerusi undian peminat secara dalam talian.

Namun, kategori yang akan menjadi tumpuan pastinya Pemain Paling Bernilai (MVP) yang diberikan kepada penyokong Liga Malaysia pada edisi lalu.

Pemenang bakal dipilih daripada kalangan pemenang Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik.

Melihat kepada persembahan musim ini, penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias dan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang baru sahaja berpindah ke Sabah FC, Baddrol Bakhtiar merupakan dua calon yang mempunyai peluang cerah bagi merangkul anugerah utama itu.

Kedua-dua pemain menjadi watak penting bagi pasukan masing-masing musim ini dan begitu menyerlah dalam saingan liga.

Baddrol mencatatkan tujuh gol serta empat bantuan gol dalam 22 penampilan liga musim ini, membantu Kedah menghuni tangga kedua Liga Super.

Bercakap kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), beliau mengakui rindu untuk mendakap trofi pemain tengah terbaik yang kali terakhir dimenanginya empat tahun lalu dan berharap ABK2021 bakal memberi tuah kepada dirinya.

“Kalau bercakap pasal calon,semuanya hebat-hebat dan saya sendiri sebenarnya kalau boleh tidak mahu terlepas peluang untuk memenangi semula trofi ini.

“Sebab kali terakhir menang pun tahun 2017, dah lama dah, jadi saya harap tahun ini peluang untuk menang itu ada untuk saya”, jelasnya yang turut dinobatkan sebagai MVP pada edisi berkenaan.

Dalam pada itu, ketangkasan Farizal menjaga gawang JDT dengan mencatatkan 14 perlawanan tanpa bolos dan hanya bolos 9 kali dalam 22 penampilan liga membantu pasukannya memenangi gelaran liga lapan kali berturut-turut.

Beliau dilihat tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kategori Penjaga Gol Terbaik yang dimenanginya pada tahun lalu.

Farizal bakal mendapat saingan daripada penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat.

Farizal dan Khairul Fahmi merupakan pemain yang paling banyak meraih trofi Penjaga Gol Terbaik iaitu sebanyak lima kali.

Kesemua pemenang akan diumumkan dalam acara yang akan berlangsung jam 9 malam ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram