Lupakan impian Aristede Bance ke Kelantan FC


  • Podium
  • Sabtu, 04 Dis 2021

BANCE memiliki pengalaman luas kerana bermain bersama 22 kelab berbeza. — Agensi

KELIBAT Kelantan FC dalam kancah liga bola sepak tempatan sesekali tidak boleh diabaikan meskipun kini beraksi di Liga Perdana.

Dengan kedudukan tempat keenam dalam saingan Liga Perdana pada musim 2021, Kelantan FC pastinya mahu memperkuatkan skuad bagi menghadapi saingan baharu tahun depan.

Misi untuk kembali ke Liga Super bagaimanapun memerlukan skuad yang ampuh buat The Red Warriors terutamanya di bahagian serangan.

Barisan serangan Kelantan FC kini dibarisi Jack Hindle, Arip Amiruddin, Nik Azli Nik Alias dan pemain terbaharu Nurshamil Abd Ghani,

Berdasarkan statistik musim ini, Kelantan menjaringkan 23 gol dan bolos 28 gol dalam kesemua 20 perlawanan liga.

Antara nama yang disebut untuk menjadi mesin gol Kelantan termasuk kuda tua dari kelahiran Ivory Coast, Aristide Bance yang kini tidak beraksi dengan mana-mana kelab.

Walaupun kelahiran Ivory Coast tetapi dia merupakan bekas pemain kebangsaan Burkina Faso.

Bance mungkin sudah berusia 37 tahun, tetapi pengalamannya bersama 22 kelab di benua Eropah, Arab dan Asia pasti menjadi tonik terbaik buat Kelantan FC mencabar kejuaraan Liga Perdana.

Dengan fizikal yang tinggi dan bertubuh sasa, usia Bance dilihat tidak menjadi penghalang untukbersemuka dengan pemain pertahanan kelab-kelab Liga Perdana.

Untuk rekod, Bance telah menjaringkan 90 gol sepanjang kariernya yang melibatkan 319 perlawanan.

Kini Bance merupakan penolong pengurus kelab Williamsville AC di Ivory Coast.

Jika Kelantan FC serius mahu mendapatkan khidmatnya, tidak mustahil Bance akan menyarung semula butnya untuk kembali beraksi sebagai penyerang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram