Zii Jia mudah lepasi peringkat kumpulan


  • Podium
  • Jumaat, 03 Dis 2021

AKSI Zii Jia ketika berdepan dengan Srikanth pada kejohanan Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia. — AFP

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkan perlawanan terakhirnya di Kumpulan B dengan satu lagi kemenangan, kali ini dengan menewaskan K. Srikanth pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF (Badminton World Federation) di Bali, Indonesia.

Pemain nombor tujuh dunia itu mengekalkan kemenangan 100 peratus di kejohanan itu selepas kemenangan ke atas pemain dari India itu, 21-19, 21-14, pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua, Indonesia.

Kemenangan ini menyaksikan Zii Jia layak ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B, manakala Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang menduduki tempat kedua juga layak.

Sementara itu, pasangan bergu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah mengalami kekalahan kali kedua mereka, kali ini kepada pemenangan pingat emas Olimpik Tokyo, Greysia Polii-Apriyani Rahayu, 18-21, 11-21 sekali gus menamatkan cabaran meeka di Bali selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan A.

Dalam masa yang sama, pasangan bergu campuran, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing juga terkeluar selepas menamatkan kempen di tempat tercorot Kumpulan A, berikutan kekalahan kepada pasangan Denmark Mathias Christiansen-Alexandra Boje, 15-21, 17-21.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua selepas tewas kepada juara kumpulan, pasangan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun 11-21, 12-21.

Kumpulan B beregu lelaki pula menyaksikan pasangan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang telahpun menempah tiket ke separuh akhir semalam, gagal mendapatkan kemenangan ketiga mereka selepas tewas kepada satu lagi pasangan dari Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 19-21, 21-12 dan 10-12. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram