PASUKAN Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Rabu melanjutkan kontrak empat pemain import mereka musim hadapan.
EMPAT pemain import yang dikekalkan oleh KL City ialah penjaga gol, Kevin Ray Mendoza, Giancarlo Gallifuoco, Romel Morales dan ketua pasukan, Paulo Josue.
Mendoza pada Rabu dikhabarkan menjadi buruan beberapa kelab besar tempatan selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
Antara yang dijangka mendapatkan khidmatnya termasuk JDT.
Bagaimanapun, jika dilihat sejarah Liga Malaysia, tidak banyak kelab yang berminat untuk mengambil penjaga gol import dalam skuad mereka.
Antara penjaga gol import yang pernah beraksi dalam kancah bola sepak Malaysia adalah Sandro Radun (Kelantan), Karel Stromsik (Selangor), Peter Dizel (Selangor) dan Tommy Peter Maras (Kuala Lumpur).
Rata-rata pasukan lebih berminat untuk mengisi kuota import dengan mengambil pemain di bahagian pertahanan dan serangan kerana berpendapat Malaysia memiliki ramai penjaga gol berbakat.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia memiliki ramai penjaga gol berbakat, bermula dari Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid, Mohd Suhaimi Husin dan Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
Kebanyakan pasukan juga merasakan adalah satu 'pembaziran' bagi slot import mereka demi seorang penjaga gol, walhal posisi lain lebih penting.
Malahan mengikut statistik Liga Super musim ini, Mendoza hanya mencatatkan tujuh 'clean sheets' dalam 22 penampilan manakala Mohd Farizal merekodkan 13 'clean sheets' dalam 21 penampilan.
Mendoza juga hanya menduduki tangga keempat dalam senarai penjaga gol yang melakukan 'clean sheets' musim ini, di belakang Mohd Farizal, Mohd Suhaimi dan Kalamullah Al Hafiz.
Mohd Suhaimi dan Kalamullah Al Hafiz merekodkan lapan 'clean sheets' namun masing-masing hanya bermain 17 dan 19 perlawanan.
Statistik itu menunjukkan penjaga gol Malaysia masih mampu beraksi lebih baik berbanding penjaga gol import dan atas faktor tersebut berkemungkinan pasukan tempatan tidak gemar untuk mengikat penjaga gol import. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram