'Piala Malaysia hadiah perkahwinan paling istimewa'


  • Podium
  • Khamis, 02 Dis 2021

KL City muncul juara edisi ulang tahun ke-100 Piala Malaysia dengan mencipta kejutan besar ke atas juara bertahan JDT. — Bernama

KEJAYAAN pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) merangkul kejuaraan Piala Malaysia Selasa lepas menjadi hadiah perkahwinan paling istimewa buat ahli fisioterapi pasukan berkenaan, P.Renesh.

Renesh, 31, yang melangsungkan perkahwinan malam tadi iaitu kurang 24 jam selepas memastikan semua pemain berada pada keadaan baik untuk menggapai kejayaan di pentas final selepas 32 tahun, menganggap ia sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Beliau yang meneruskan legasi mendiang bapanya, K.Prabaharan yang juga ahli fisioterapi skuad ‘The City Boys’ dan merangkul kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987 hingga 1989 tidak menyangka pasukan KL City menjulang trofi Piala Malaysia.

"Ini kerana saya baru dalam pasukan ini (KL City) tetapi ia merupakan kejayaan besar. Kejayaan ini sememangnya hadiah perkahwinan yang tidak ternilai.

"Saya sentiasa mengimpikan mengikut jejak langkah ayah untuk menjadi ahli fisioterapi pasukan KL City. Biarpun ia adalah malam yang sibuk (aksi final), saya bersedia untuk berada di sana (Stadium Nasional Bukit Jalil) untuk pasukan saya,” katanya yang ditemui Bernama pada majlis perkahwinannya pada Rabu.

Renesh yang pernah berkhidmat bersama skuad bola keranjang kebangsaan pada Sukan SEA 2017 dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) melangsungkan perkahwinannya dengan M.Rubini.

Beliau menguruskan Axis Fisioterapi yang ditubuhkan Prabaharan selepas Prabaharan meninggal dunia akibat kanser pada 2010.

KL City muncul juara edisi ulang tahun ke-100 Piala Malaysia dengan mencipta kejutan besar ke atas juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi kemenangan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, ibu Renesh, Chan Sok Gan, 66, berkata beliau turut menyaksikan kerja keras anaknya dalam memastikan pemain pasukan sihat sebelum beraksi sepanjang musim ini terutamanya pada final.

"Mendiang suami saya berada dalam pasukan dan mereka telah memenangi Piala Malaysia terakhir mereka pada 1989, jadi saya sangat bangga dan gembira untuk Renesh.

"Ia bukan mudah untuk Renesh, ini periuk nasi pemain, kalau pemain cedera ia akan menjejaskan karier mereka,” katanya.

Chan yang juga ahli fisioterapi berharap Renesh dapat memberikan khidmat kepada skuad KL City bagi meneruskan legasi kejayaan yang ditinggalkan bapanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram