Menteri saran majikan beri cuti bergaji sempena cuti Wilayah Persekutuan


  • Primer
  • Khamis, 02 Dis 2021

HARI Kelepasan Am Tambahan yang diisytiharkan itu bukan merupakan hari kelepasan am bergaji yang wajib diberikan menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955 [Akta 265].

PEKERJA sektor swasta digalakkan memberi cuti am bergaji kepada pekerja susulan pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh Wilayah Persekutuan pada Jumaat, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Saranan itu katanya memandangkan Hari Kelepasan Am Tambahan yang diisytiharkan itu bukan merupakan hari kelepasan am bergaji yang wajib diberikan menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955 [Akta 265].

"Susulan pengisytiharan hari pelepasan am tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan (Jumaat), para majikan di sektor swasta adalah digalakkan untuk memberikan cuti am bergaji kepada pekerja-pekerjanya di tiga Wilayah Persekutuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengumumkan Jumaat (3 Disember) sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh Wilayah Persekutuan.

Ia susulan kejayaan pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

"Pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Wilayah Persekutuan," katanya.

Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas 0-2 di tangan KL City FC.

Pasukan Harimau Selatan itu sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram