KELEKAAN rakyat kini berada di dalam keadaan yang membimbangkan, tambahan pula mereka seolah tidak takut dengan penularan wabak Covid-19.
Perkara itu disuarakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Malina Osman yang berpendapat sebahagian rakyat tidak mengendahkan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP).
DR Malina Osman merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam UPM.
Katanya, ia berlaku terutama dalam aktiviti kebisaan harian seperti makan di kedai dan kesukaan sebagai contoh, termasuk semasa pertandingan akhir Piala Malaysia pada Selasa.
"Apa yang dikesalkan adalah masyarakat mula leka, contoh di stadium (Selasa) mereka boleh duduk secara rapat dan seolah tiada penjarakan sosial.
"Tidak terkecuali semasa di kedai makan, ramai sudah lupa yang SOP hanya membenarkan buka pelitup muka semasa makan, bukannya semasa berborak atau melangkah masuk ke restoran," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, perkara ini membimbangkan kerana kesilapan kecil boleh menyumbang kepada penularan wabak Covid-19 dan kelekaan rakyat boleh mengundang padah.
Jelasnya, jika perkara ini tidak diperbaiki, negara akan berdepan kesukaran untuk membendung penularan varian baharu termasuk varian Omicron yang lebih mudah berjangkit.
Ujarnya, kerajaan sudah melakukan yang terbaik dengan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya seperti yang disarankan oleh golongan pakar.
"Pihak berkuasa dan rakyat seharusnya selari dalam langkah mencegah penularan wabak Covid-19, selagi kita belum ke tahap endemik, semua pihak perlu mengambil berjaga-jaga dan patuh kepada SOP.
"Segala langkah pencegahan dan saringan telah dilaksaankan, namun ia tidak bermakna jika di peringkat individu semua SOP hanya dipandang sebelah mata," ujarnya.
Sementara itu, Malina turut menambah, dalam beberapa aspek dia juga berpendapat pihak berwajib perlu ambil perhatian untuk beri kelonggaran terhadap aktiviti agama.
Katanya, sebagai contoh, merapatkan saf di masjid tidak menjadi masalah kerana dari segi SOP hanya yang lengkap divaksin boleh memasuki rumah ibadat itu.
"Perkara itu boleh dilakukan dengan syarat mereka yang ke masjid sudah lengkap divaksin dan berada dalam keadaan sihat.
"Dalam hal ini, peringkat saringan perlu prihatin dengan mereka yang keluar masuk masjid bagi mengelak penularan jika dibenarkan saf kembali dirapatkan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram