Sebab utama Syahmi Safari tinggalkan Selangor sebelum tamat kontrak, sertai JDT


  • Podium
  • Jumaat, 26 Nov 2021

SYAHMI Safari (kiri) kini dikatakan hanya menunggu masa sebelum ke JDT musim depan. — AFIQUE YUSOFF/The Star

KOMITMEN peribadi bersama keluarga tercinta dikatakan menjadi punca utama bek kanan versatil Harimau Malaya, Muhammad Syahmi Safari nekad memohon pelepasan sebelum dilepaskan Selangor secara persetujuan bersama musim depan.

Bek kanan berbisa itu kini dilaporkan hanya menunggu masa untuk menyertai skuad gergasi selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) meskipun dilaporkan masih berbaki kontrak selama dua musim sehingga 2023 bersama The Red Giant sebelum secara rasminya dilepaskan.

Di sebalik spekulasi dia mencari angin baharu demi lonjakan karier yang mengaitkan perpindahannya ke JDT, timbul dakwaan ditawarkan gaji lumayan juga dijadikan modal bersembang di kedai mamak oleh peminat fanatik Selangor yang seakan-akan sukar untuk menerima hakikat pasukan kesayangan mereka bakal kehilangan Syahmi sebagai pemain ejen bebas musim depan.

Begitupun Majoriti difahamkan, Syahmi memohon untuk dilepaskan lebih awal sebelum tamat kontrak adalah disebabkan mahu lebih dekat bersama isteri dan keluarga mentua tercinta yang berasal dari Johor.

Sebelum ini, Syahmi juga pernah diberikan pelepasan oleh pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika melapor diri untuk tugas kebangsaan gara-gara kehilangan bayi perempuan bernama Selma Rose Nayla Muhammad Syahmi pada Mei lepas.

Syahmi, 23, dan pasangannya, Nabila Nafisa Shahrin mendirikan rumahtangga pada 2019.

Pada masa sama, peminat fanatik Gergasi Merah juga khuatir Syahmi bakal mengikut jejak langkah seorang lagi bekas pemain Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang kini seolah-olah 'hilang' dari radar bola sepak tempatan sebaik menyertai JDT pada 2016.

Namun, nasib Syahmi mungkin berbeza kali ini apabila dia dilihat prospek yang paling sesuai bagi mengisi posisi bek kanan gara-gara bintang JDT, S. Kunanlan kini sudah pun berusia 35 tahun.

Terdahulu, menerusi portal Merah Kuning 24/7, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor, Johan Kamal Hamidon dilaporkan berkata, pemain yang mempunyai baki kontrak dua tahun itu tidak meninggalkan kelab secara percuma.

Sebaliknya jelas beliau, Selangor telah mendapat pampasan sewajarnya secara penuh yang akan digunakan sebagai pelaburan program pembangunan bola sepak Selangor.

Selain itu, katanya, Selangor juga bersetuju melepaskan Syahmi kerana kembali mendapat khidmat bek kanan muda, Quentin Cheng yang sebelum ini dipinjamkan ke Penang FC musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram