Matyo tinggalkan Sarawak United, kembali ke pangkuan pasukan lama?


  • Podium
  • Jumaat, 26 Nov 2021

MATYO disebut-sebut kembali semula ke pangkuan pasukan lamanya dalam aksi Liga M musim depan. — Foto kredit: BG Pathum United

PENYERANG veteran berkaliber, Norshahrul Idlan Talaha dikatakan bakal 'angkat kaki' meninggalkan skuad Sarawak United musim depan, dedah satu sumber kepada Majoriti.

Penyerang berusia 35 tahun itu kini disebut-sebut akan menyeberangi Laut China Selatan, sekali gus kembali ke pangkuan pasukan lama yang pernah diwakilinya di semenanjung apabila usaha lanjutan kontraknya bersama pasukan Borneo itu dilaporkan menemui jalan buntu setakat ini.

Sebelum ini, Norshahrul yang mesra dengan panggilan Matyo menyertai Sarawak United dari kelab Thailand, BG Pathum United awal musim ini.

Dia berjaya mencetak empat gol dalam 15 penampilan bersama The Golden Hornbill.

Antara pasukan lama yang disebut-sebut amat berminat mendapatkan semula khidmat Matyo musim depan termasuklah skuad The Red Warriors, Kelantan FC.

Pada masa sama, wujud juga laporan Matyo berkemungkinan kembali ke pangkuan Johor Darul Takzim (JDT), namun desas-desus itu belum cukup kuat atas faktor usia penyerang itu yang tidak lagi berada dalam perancangan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menghadapi saingan Piala AFF 2021 di Singapura kali ini.

Selain Kelantan FC dan JDT, Matyo juga pernah beraksi bersama beberapa pasukan iaitu Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang.

Tidak mustahil, Matyo juga berkemungkinan kembali berhijrah ke luar negara gara-gara khidmatnya pernah diintai dua pasukan Liga Thailand semasa beraksi bersama BG Pathum United sebelum ini.

Jika Matyo nekad berhijrah, ia sememangnya satu tamparan buat Sarawak United yang turut dilaporkan bakal kehilangan ramai pemain utama musim depan.

Ini kerana selain Matyo, empat lagi rakan sepasukannya di Sarawak United iaitu Tommy Mawat Bada, Gopi Rizqi, Sandro dan kapten, Taylor Regan juga dikhabarkan sedang dirisik pasukan lain musim depan.

Difahamkan, masalah tunggakan gaji dikatakan menjadi kemelut utama pasukan, namun majoriti pemain memilih untuk setia bersama Sarawak United sehingga musim ini berakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram