SKUAD Selangor FC dilihat harus segera melakukan sesuatu jika enggan berputih mata sekali gus kehilangan khidmat penyerang import sensasi, Ifedayo Olusegun musim depan.
Ia rentetan pemenang Kasut Emas Liga Super dua musim berturut-turut itu kini dikatakan dalam radar dua pasukan elit tanah air untuk memperkuatkan skuad masing-masing menjelang musim baharu saingan domestik nanti.
Ketajaman sentuhan penyudah penyerang berdarah Nigeria-Bahrain itu tidak lagi perlu dipertikaikan peminat bola sepak tempatan apabila mencetak 26 gol pada aksi Liga Super 2021, sekali gus mempertahankan Anugerah Kasut Emas yang dimenanginya bersama Selangor musim lepas.
Antara pasukan yang dikhabarkan cukup berminat mendapatkan tandatangan Ifedayo termasuklah skuad gergasi yang berpangkalan di utara tanah air, Kedah Darul Aman FC.
Tidak hairanlah, Kedah dikhabarkan sanggup menawarkan khidmat penyerang berbisa, Kpah Sherman sebagai pertukaran bagi mendapatkan khidmat Ifedayo, sekali gus membuka ruang untuk menarik minat Selangor ke meja rundingan.
Cuma pada masa sama, Kedah bukan satu-satunya pasukan yang ingin mendapatkan khidmat Ifedayo apabila turut dikatakan sedang diintai satu lagi pasukan, Melaka United.
Namun, belum ada sebarang kenyataan rasmi diumumkan kedua-dua pasukan setakat ini.
Majoriti difahamkan, pihak pengurusan Selangor FC sedang melakukan segala yang terdaya bagi memastikan Ifedayo kekal di Stadium Shah Alam.
Cuma pada masa sama, masalah tuntutan kenaikan gaji yang tinggi dikatakan menjadi punca utama mengapa kontrak penyerang import berusia 30 tahun itu tidak lagi disambung skuad Gergasi Merah musim depan.
Ketika ini, Melaka United dilaporkan satu-satunya pasukan yang bersedia memenuhi tuntutan gaji Ifedayo kerana disebut-sebut bakal menerima suntikan dana yang besar untuk merombak skuad supaya kembali menjadi pasukan yang digeruni musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram