GERGASI utara tanah air, Kedah Darul Aman FC muncul pasukan terbaharu yang dikhabarkan berminat mendapatkan khidmat pemain tengah Sri Pahang FC, Muhamad Nor Azam Abdul Azih musim depan.
Arkitek prolifik skuad Harimau Malaya itu buat masa ini dikatakan ingin mencari angin baharu musim depan selepas membuat debut pertama bersama Pahang pada 2015.
Perancang kelahiran Maran, Pahang yang berusia 26 tahun itu juga disebut-sebut bakal menyertai Selangor bagi membentuk gandingan mantap di jentera tengah bersama seorang lagi tonggak kebangsaan, Brendan Gan yang telah melanjutkan kontrak bersama The Red Giant musim depan.
Kematangan yang dimiliki Nor Azam mengemudi jentera tengah sememangnya ditagih Selangor apabila dilaporkan kehilangan ramai pemain senior yang membuat keputusan untuk berhijrah dan meninggalkan Stadium Shah Alam musim depan.
Hubungan baik antara Nor Azam bersama penjaga gol Selangor yang juga bekas pemain Pahang, Khairulazhan Khalid yang kekal di Stadium Shah Alam musim depan juga meletakkan pasukan Gergasi Merah sebagai calon pasukan pilihan bagi mendapatkan tanda tangan pemain tengah berbakat itu.
Begitupun, usaha Selangor untuk memikat Nor Azam ke meja rundingan dilihat tidak semudah dijangka apabila Kedah kini turut menyertai persaingan bagi memastikan arkitek itu akhirnya membuat keputusan untuk berkelana ke utara tanah air.
Ini kerana, Nor Azam dilihat calon yang sesuai buat skuad Helang Merah bagi mengisi kekosongan di jentera tengah apabila legenda kelab, Baddrol Bakhtiar dikatakan hanya menunggu masa untuk kembali bersatu dengan sifunya, Datuk Ong Kim Swee bersama Sabah FC musim depan.
Namun di sebalik minat yang ditunjukkan Selangor dan Kedah, Nor Azam turut dikhabarkan belum bersedia berjauhan bersama isteri dan keluarga, jadi Terengganu FC juga dilaporkan berada dalam pertimbangan pemain itu sebagai destinasi baharu musim depan.
Cuma, tidak mustahil Nor Azam tiba-tiba disambar Johor Darul Takzim (JDT) pada saat-saat akhir jendela perpindahan pemain, justeru pengurusan Selangor dan Kedah harus segera melakukan sesuatu jika enggan berputih mata.
Majoriti difahamkan, wujud desas-desus laporan Nor Azam berkemungkinan bertukar fikiran lalu kekal di Stadium Darul Makmur, namun itu pun jika Sri Pahang berjaya mendapatkan sentuhan Lim Teong Kim sebagai jurulatih baharu musim depan.
Di sebalik kegusaran peminat berhubung status kecederaan yang sering dialaminya, Nor Azam tetap berjaya meledak dua gol dan tiga bantuan jaringan ketika membantu Sri Pahang menamatkan saingan di tempat ketujuh Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram