MALAYSIAN Football League (MFL) dengan kerjasama Ninox Idea dan Faidh Jewels pada Khamis melancarkan set komemoratif bar emas 100 Tahun Piala Malaysia sempena ulang tahun ke-100 penganjuran kejohanan Piala Malaysia.
Set edisi terhad yang hanya terdapat sebanyak 999 set itu didatangkan dengan jongkong emas eksklusif seberat 0.5 gram, buku kenangan Piala Malaysia, pelitup muka, lencana magnet dan pelekat kereta untuk dijadikan koleksi peminat bola sepak tempatan.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kerjasama itu bakal membuka ruang kepada lebih banyak pihak untuk bekerjasama dengan MFL dalam mengkomersialkan kejohanan bola sepak di negara ini.
"Ini merupakan satu kerjasama yang amat baik sempena penganjuran 100 tahun Piala Malaysia. Ini menggambarkan MFL tidak jumud atau menutup pintu kepada mana-mana pihak yang ingin berkongsi idea bersama pihak kami.
"Ini menunjukkan MFL bukan sahaja menumpukan dari segi penajaan tetapi juga dalam bidang yang lain bagi meningkatkan nilai komersial MFL," katanya pada sidang media majlis pelancaran set komemoratif bar emas 100 Tahun Piala Malaysia bersama Ninox Idea dan Faidh Jewels di Wisma FAM, Petaling Jaya pada Khamis.
Dalam pada itu, Pengarah Ninox Idea, Mohd Danial Don Alfian berkata, kerjasama itu dapat menjadikan MFL lebih dikenali lebih dikenali dalam kalangan pengumpul barangan edisi terhad.
"MFL akan dilihat sebagai satu entiti yang mesra kepada masyarakat dan penglibatan secara menyeluruh bukan hanya dalam industri sukan sahaja.
"Pembeli dapat memiliki satu komoditi yang bukan sahaja berharga kerana jumlahnya yang terhad tetapi juga kerana sifat emas itu sendiri yang mempunyai nilai sepanjang masa," katanya.
Mohd Danial berkata, orang ramai boleh mendapatkan set bar emas edisi terhad itu pada harga bermula daripada RM299 setiap satu menerusi laman web www.faidhjewels.com.my atau menghubungi Faidh Jewels di talian 03-8071 8024. — MajoritiBoleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram