Kim Swee akhirnya buka mulut spekulasi Baddrol, Apek ke Sabah FC


  • Podium
  • Selasa, 23 Nov 2021

JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. — Bernama

JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee akhirnya menjawab spekulasi yang mengaitkan pasukannya dengan dua bintang bola sepak tempatan, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat.

Sambil memuji kualiti kedua-dua pemain itu, Kim Swee mengatakan masih awal baginya untuk mengumumkan pemain yang bakal menyertai skuad The Rhinos pada jendela perpindahan akan datang.

"Kita tahu mereka (Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi) pemain yang cukup berkualiti dan mereka merupakan pemain skuad kebangsaan.

"Tetapi, saya harus berbincang dahulu dengan pihak pengurusan sebelum menentukan siapa yang kita boleh bawa masuk mengikut bajet yang diperuntukkan untuk tahun depan," katanya kepada Majoriti.

Beliau turut mengakui kedua-dua pemain itu boleh memberi kelebihan kepada pasukannya sekiranya mereka menyertai Sabah FC.

Sejak beberapa hari lalu, nama Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi disebut-sebut bakal memperkuatkan skuad The Rhinos pada musim hadapan.

Terdahulu, spekulasi masa depan Baddrol bersama Kedah Darul Aman FC semakin hangat diperkatakan apabila kapten Helang Merah itu memuat naik status InstaStory yang mengimbau semula kenangan bersama skuad Harimau Muda ketika meraih emas bola sepak temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Selain Baddrol, nama penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi yang lebih mesra disapa Apek turut disebut-sebut bakal memperkuatkan skuad Sabah FC musim depan.

Kedua-dua pemain itu merupakan tunjang penting skuad emas Sukan SEA yang ketika itu dikendalikan oleh Kim Swee. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram