ISU mutu pengadilan bola sepak tempatan harus dilihat dari sudut subjektif memandangkan pengadil juga merupakan manusia yang tidak lari dari melakukan kesilapan.
Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, jika dilihat dari segi jumlah perlawanan dan juga peratusan, ia berlaku amat sedikit.
"Tapi disebabkan perlawanan yang berlangsung ketika ini adalah peringkat separuh akhir, ia mendapat perhatian daripada penonton.
"Isu mutu pengadilan ini selalunya akan dibincang dengan FAM di peringkat jawatankuasa pengadil itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran set komemoratif bar emas 100 Tahun Piala Malaysia bersama Ninox Idea dan Faidh Jewels di Wisma FAM di Petaling Jaya pada Khamis.
Namun, katanya, kesilapan pengadil sentiasa perlu diperbaiki, dan pihaknya berharap kualiti pengadil di peringkat liga dapat ditingkatkan daripada semasa ke semasa.
Ketika ditanya mengenai penswastaan badan pengadil bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan, beliau menganggap perkara itu tidak akan menyelesaikan isu tersebut.
"Jika diswastakan pun, pengadil juga mungkin akan melakukan kesilapan kerana mereka juga adalah manusia.
"Disebabkan itu liga Barat menggunakan teknologi VAR (video bantuan pengadil) kerana pengadil mereka turut melakukan kesilapan walaupun berstatus profesional," katanya.
Tambah Ab Ghani, apa-apa keputusan melibatkan pengadil adalah di bawah Persekutuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM) dan beliau percaya FAM tidak akan berdiam diri mengenai isu tersebut.
"Saya percaya pihak FAM sudah ada perancangan dan tindakan yang bakal diambil bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan bola sepak di negara ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram