JODOH legenda Kedah, Baddrol Bakhtiar bersama skuad Helang Merah dikatakan semakin hampir terlerai apabila saling berbalas ucapan selamat tinggal bersama peminat fanatik pasukan itu di laman sosial pada Rabu.
Rata-rata peminat fanatik Hijau Kuning tidak dapat menyembunyikan kesedihan masing-masing tambahan pula Baddrol telah berbakti selama 16 tahun bersama Kedah.
Justeru, majoriti penyokong KDA FC di media sosial meninggalkan ucapan selamat tinggal kepada pemain legenda negeri itu.
Baddrol dikhabarkan akan menyertai Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee pada musim depan.
"Selamat maju jaya Capt. Sebak noh qasa seropa putuih cinta (Sebaknya rasa serupa putus cinta," tulis @nadzmi.mahayazi.
"Kecewa bila legenda Kedah nak pindah. Kekuatan pasukan Kedah ada dekat dia," ujar pengguna Facebook, Own Apex.
"Biar jasa jadi kenangan. Banyak sumbangan beliau. Patah tumbuh hilang berganti. Ini masa kita lahirkan bakat muda semula," kata seorang lagi pengguna Facebook, Muhd Adam Malek.
Baddrol juga dilihat memuat naik semula beberapa ucapan para peminatnya di Instagram miliknya pada Rabu.
ANTARA status peminat yang dimuat naik semula Baddrol di Instagram pada Rabu
Selain Baddrol, seorang lagi pemain KDA FC, Rizal Ghazali dan penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat turut dikhabarkan bakal menyertai Sang Badak musim depan.
Pada Selasa, Kim Swee mendedahkan masih terlalu awal untuk memberikan penjelasan berhubung khabar angin itu atas beberapa faktor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram