Isu pemilikan stadium antara halangan VAR — Ab Ghani


  • Podium
  • Khamis, 25 Nov 2021

PRESIDEN MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. — Bernama

STATUS pemilikan stadium merupakan antara punca utama yang menyukarkan pelaksanaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam arena bola sepak tempatan.

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, untuk mengimplementasi sistem VAR di negara ini, setiap stadium harus mempunyai sistem kabel dan jaringan WiFi yang baik serta lain-lain aspek teknikal berkenaan supaya teknologi itu berfungsi dengan baik.

"Kelab bola sepak di negara luar mempunyai stadium mereka sendiri, berbeza dengan kelab di negara kita yang kebanyakannya menyewa dengan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) masing-masing.

"Selain itu, isu kos juga merupakan perkara utama yang harus kita lihat sebelum mempertimbangkan penggunaan VAR dalam Liga Malaysia. Semua perkara ini kita harus ambil kira.," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran produk Bar Emas 100 Tahun Piala Malaysia MFL bersama Ninox Idea dan Faidh Jewels di Wisma FAM di Petaling jaya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata, pihaknya sudah mengambil inisiatif sendiri bagi memastikan setiap perlawanan diadili dengan baik dengan meletakkan dua penjaga garisan di belakang gol, yang membantu pengadil utama di tengah padang serta dua penjaga garisan di tepi padang.

Namun, katanya, perbincangan mengenai perlaksanaan VAR di negara ini akan dibincangkan dengan pihak FAM bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mfl, liga malaysia, VAR, Ab Ghani Hassan