MFL akan duduk semeja dengan PFAM, Sarawak United


  • Podium
  • Khamis, 25 Nov 2021

KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

MALAYSIAN Football League (MFL) akan masuk campur isu tunggakan gaji pemain Sarawak United yang dikatakan sudah berlanjutan hampir tiga bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata, beliau akan berjumpa dengan Presiden Sarawak United dan pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) secara peribadi bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"MFL akan bertindak sebagai orang tengah antara PFAM dan juga Sarawak United supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan segera di luar proses perundangan yang boleh mengambil masa yang lama.

"Pihak kami sudah berhubung dengan kelab tersebut untuk menetapkan satu tarikh untuk berjumpa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran set komemoratif bar emas 100 Tahun Piala Malaysia bersama Ninox Idea dan Faidh Jewels di Wisma FAM di Petaling Jaya pada Khamis.

Mengenai status lesen kebangsaan bersyarat yang diberikan kepada kelab itu, Stuart berkata, pihak Sarawak United sudah menyerahkan bukti penyelesaian atas hutang tertunggak mereka terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada MFL pada tarikh tutup 20 November lalu.

"Unit Perlesenan Kelab MFL akan bersemuka dengan pihak pengurusan Sarawak United pada Jumaat mengenai isu perlesenan dan dokumentasi.

Sarawak United diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat ekoran kemelut kewangan yang menimpa pasukan itu ketika ini.

Sebelum ini, Stuart memberi amaran bahawa kelab itu berisiko menerima hukuman seperti tidak dinaikkan pangkat atau diturunkan liga, selain kemungkinan ditarik lesen sepenuhnya jika tidak menyelesaikan perkara itu sebelum tempoh yang ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram