Rangnick pelan kedua Man United jika gagal dapatkan Pochettino


  • Podium
  • Rabu, 24 Nov 2021

RANGNICK kini merupakan ketua sukan dan pembangunan di kelab Rusia, Lokomotiv Moscow. — Agensi

MANCHESTER United mempunyai pelan kedua jika gagal mendapatkan pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat Ahad lalu.

Pihak pengurusan The Red Devils dilaporkan masih berminat untuk membawa bekas pengurus Tottenham Hotspur itu ke Old Trafford, namun terpaksa menunggu sehingga PSG mendapatkan pengganti.

Pochettino ketika ini berada di Manchester bagi berdepan aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Manchester City pada awal pagi Khamis.

Menurut laporan, Man United mempertimbangkan untuk membawa masuk jurulatih Jerman, Ralf Rangnick untuk menggalas tugas sebagai pengurus interim sehingga akhir musim sekiranya tidak berjaya mendapatkan Pochettino sekarang.

Rangnick, yang mempunyai pengalaman luas sebagai pengurus, kini merupakan ketua sukan dan pembangunan di kelab Rusia, Lokomotiv Moscow.

Beliau terkenal di seluruh Jerman sebagai individu yang memperkenalkan gegenpressing, yang popular dengan jurulatih Jerman lain seperti Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel, kepada bola sepak Jerman pada akhir 1990an.

Pengurus berusia 63 tahun itu bagaimanapun hanya mempunyai pengalaman menguruskan kelab di negara asalnya termasuk Schalke, RB Leipzig, Stuttgart dan Hoffenheim.

Buat masa ini, bekas pemain tengah Man United, Michael Carrick mengambil alih sebagai pengurus sementara ketika kelab mencari calon sesuai bagi mengisi kerusi panas tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram