OLE Gunnar Solskjaer secara rasminya meninggalkan Manchester United pada Ahad selepas kekalahan memalukan 1-4 kepada Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Solskjaer menjadi pengurus terbaharu yang gagal memikat pengurusan serta peminat kelab sejak Sir Alex Ferguson meletak jawatan pada 2013.
Sejak itu, seramai empat pengurus tetap dilantik bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan pengurus berbangsa Scotland itu iaitu David Moyes pada 2013, LouisVan Gaal (2014), Jose Mourinho (2016) dan terkini Ole Gunnar Solskjaer yang dilantik pada 2018.
Namun, semua pengurus tersebut gagal membawa impak yang diharapkan oleh pihak pengurusan dan peminat apabila kesemuanya dipecat sebelum kontrak mereka tamat.
Bagaimanapun, penamatan kontrak lebih awal datang dengan harga yang amat besar dan Man United sudah membelanjakan begitu banyak untuk menyingkirkan pengurus-pengurus pasca persaraan Sir Alex Ferguson.
Menurut laporan, The Red Devils harus membayar sebanyak £7.5 juta (RM42.1 juta) kepada Solskjaer selepas memecat pengurus itu pada Ahad.
Dengan jumlah tersebut, United kini difahamkan sudah membelanjakan kira-kira £32.5 juta (RM182.8 juta) bagi bayaran pampasan kepada pengurus-pengurus yang dipecat selepas era Ferguson.
David Moyes - £5 juta (RM28.1 juta)
Gambar AP
Pengurus berbangsa Scotland itu dipecat tidak sampai setahun mengendalikan The Red Devils dua hari selepas Man United tewas 0-2 kepada bekas kelabnya, Everton pada April 2014.
Ketika pemecatannya, Man United berada di tempat ketujuh dalam liga, 13 mata di belakang Arsenal yang berada di tangga keempat dengan baki empat perlawanan, yang menyaksikan Man United gagal layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1995 dan menamatkan saingan di luar kelompok tiga teratas buat kali pertama dalam sejarah EPL.
Louis Van Gaal - £5 juta (RM28.1 juta)
Gambar Reuters
Pada musim pertamanya, Van Gaal membawa Man United ke tangga keempat liga, naik tiga anak tangga dengan enam mata lebih tinggi daripada musim sebelumnya.
Beliau menghadapi musim kedua yang sukar apabila Man United tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas hanya berada di tangga ketiga kumpulan dan persembahan yang tidak memberangsangkan dalam liga.
Pada 21 Mei 2016, Van Gaal memenangi satu-satunya trofi bersama Man United iaitu Piala FA, apabila pasukannya menewaskan Crystal Palace 2–1 selepas masa tambahan.
Namun, trofi tersebut tidak cukup untuk menyelamatkan kariernya di Old Trafford apabila dipecat dua hari kemudian.
Jose Mourinho - £15 juta (RM84.3 juta)
Gambar Reuters
Pada 27 Mei 2016, Mourinho menandatangani kontrak tiga tahun dengan Man United, dengan pilihan untuk kekal di kelab itu sehingga tahun 2020.
Beliau berjaya menamatkan musim pertamanya dengan baik apabila berjaya meraih tiga trofi iaitu Perisai Komuniti, Piala EFL dan Liga Europa, walaupun hanya menamatkan saingan liga di tangga keenam.
Pada musim kedua, Mourinho berjaya membawa kelab ke tangga kedua liga, menamatkan saingan 19 mata di belakang jiran, Manchester City.
Selepas memulakan kempen liga 2018/19 dengan hanya tujuh kemenangan dalam 17 perlawanan pertama, ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu liga, Mourinho akhirnya dipecat pada 18 Disember 2018.
Ole Gunnar Solskjaer - £7.5 juta (RM42.1 juta)
Gambar Reuters
Manchester United melantik Solskjaer sebagai pengurus sementara pada 19 Disember 2018, menggantikan Jose Mourinho untuk baki musim 2018/19.
Setelah memenangi 14 daripada 19 perlawanan, Man United bertindak melantik Solskjaer secara tetap dengan kontrak tiga tahun pada 28 Mac 2019.
Pada kempen 2019/20, Solskjaer membawa Man United menduduki tangga ketiga liga dan tiga perlawanan separuh akhir di kejohanan Piala EFL, Piala FA dan Liga Europa, namun gagal maju ke peringkat akhir dalam ketiga-tiga kejohanan tersebut.
Pada musim seterusnya, Man United menamatkan kempen di tangga kedua di belakang Manchester City dan tewas di perlawanan akhir Liga Europa kepada Villareal.
Sebelum musim 2021/22 bermula, Man United mengumumkan lanjutan kontrak Solskjaer yang menyaksikan beliau akan kekal di Old Trafford sehingga 2025.
Selepas kekalahan memalukan 0-5 dan 0-2 di tempat sendiri kepada Liverpool dan Manchester City, diikuti tewas 4-1 kepada Watford dalam aksi EPL pada Sabtu, kelab akhirnya mengumumkan Solskjaer meninggalkan kelab pada 21 November 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram