TERENGGANU FC (TFC) mampu menamatkan dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Super jika mampu mencari pemain yang sesuai di jentera serangan.
Buat masa ini, TFC memiliki enam pemain yang beraksi sebagai penyerang iaitu Arif Anwar, David da Silva, Abdullah Hakimi, Jordan Mintah, Petrus Shitembi dan Lee Tuck.
Bagaimanapun statistik Liga Super sepanjang musim 2021 menunjukkan ketumpulan jentera serangan TFC dengan hanya menghadirkan 33 gol sepanjang 22 perlawanan.
Jumlah ini menempatkan TFC berada di kedudukan keempat di belakang Johor dengan 50 gol, Selangor (45), Kedah (44) dan Penang FC (37).
Bagi rekod perlawanan pula, jaringan terbesar yang dihasilkan TFC ketika bertemu Perak dengan kemenangan 5-0 pada Julai lalu.
TFC gagal menjaringkan gol hanya dalam empat perlawanan iaitu ketika bertemu PJ City dan Sabah FC yang berkesudahan 0-0, manakala tewas 0-1 masing-masing kepada Kuala Lumpur United dan JDT.
Secara puratanya, TFC menjaringkan 1.5 gol bagi setiap perlawanan Liga Super dan jika jentera serangan skuad Penyu dapat dipertajamkan lagi, tidak mustahil pasukan pantai Timur ini mampu memberi cabaran yang lebih sengit pada musim depan.
Ini kerana keseluruhan gol yang disumbangkan barisan penyerang import hanya lima gol iaitu menerusi Jordan Mintah (3) dan David da Silva (2).
Situasi ini seharusnya menjadi perhatian buat jurulatih TFC, Nafuzi Zain untuk mencari tonik terbaik di bahagian serangan bagi melipat gandakan ketajaman penyudah.
Pemenang kasut emas Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun mampu menjadi penyelesaian terbaik buat Nafuzi dalam melengkapkan pasukannya yang menampilkan aksi cemerlang dalam kempen Liga Super di kedudukan keempat dan kini beraksi di separuh akhir Piala Malaysia.
Dengan rekod 26 gol sepanjang musim lepas, Ifedayo kini diintai beberapa kelab termasuk JDT, Kedah dan Melaka United apatah lagi pemain Selangor itu dilaporkan mahu meninggalkan Red Giants kerana isu gaji. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram