Pengadil teruk, TMJ minta mutu pengadilan diperbaiki


  • Podium
  • Selasa, 23 Nov 2021

ANTARA aksi dalam perlawanan TFC menentang JDT dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1. — Bernama

PERLAWANAN antara Terengganu FC (TFC) dan JDT dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Isnin masih menjadi bualan dan bukannya kerana jumlah jaringan, tetapi disebabkan mutu pengadilan.

Ramai penonton dan peminat bola sepak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah sehingga ada yang menularkan mukanya di media sosial.

Tuan Mohd Yassin dilihat gagal mengadili perlawanan antara TFC dan JDT dengan baik apatah lagi perlawanan kedua-dua pasukan pada Isnin boleh dikategorikan sebagai agresif.

Turut melahirkan rasa tidak puas hati adalah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi ciapan di Twitter, Tunku Ismail berpendapat pengadil berkenaan tidak menunjukkan prestasi pengadilan yang baik.

"Pengadil teruk. Bukan perlawanan ini sahaja. Majoriti perlawanan setiap tahun. Sabah lawan Terengganu, JDT lawan Kelantan, Negeri Sembilan lawan Sarawak dan lain-lain.

"Setiap tahun benda yang sama. Kami perlu penambahbaikan dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mesti ambil tindakan,” kata Tunku Ismail.

Bukan itu sahaja, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut menulis ciapan: "VAR (Video Assistant Referee) is a must.”

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Isnin, ramai yang hairan mengapa tindakan pertahanan JDT Shane Lowry yang meluru ke arah Jordan Mintah sebelum menarik baju dan menghempas pemain dari Ghana itu ke padang pada minit ke-71 tidak diberi sebarang kad.

Malah, Mintah pada ketika itu dilihat mengalami kecederaan yang serius sehingga terbaring kaku buat beberapa ketika sebelum diberi bantuan kecemasan. Selain itu, Muhamad Safawi Rasid yang dikasari pertshanan TFC, Muhammad Hairiey Hakim Mamat juga tidak diberi sebarang kad dan hanya disusuli dengan amaran sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram