ISU mutu pengadilan bola sepak Malaysia terus menjadi pertikaian para peminat sukan tersebut, kali ini melibatkan perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia pada Isnin.
Dalam perlawanan berkenaan, pelbagai insiden kekasaran berlaku antara kedua-dua pasukan dan pengadil perlawanan Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah dilihat gagal mengawal permainan dengan baik.
Situasi itu turut mengundang kemarahan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.
"Setiap tahun benda yang sama. Bukan perlawanan ini sahaja. Majoriti perlawanan setiap tahun. Sabah lawan Terengganu, JDT lawan Kelantan, Negeri Sembilan lawan Sarawak dan lain-lain," ujarnya.
Kredit — Facebook Bola Sepak Terengganu
Disebabkan itu, Tuan Mohd Yaasin dikecam teruk oleh penyokong kedua-dua pasukan di media sosial.
Menurut pengguna Facebook, Kairol Nizam, dia mempertikaikan sama ada taraf pengadilan bola sepak negara ini berstatus profesional atau tidak.
"Inikah taraf pengadil liga profesional yang diagung-agungkan. Baik tukar kepada semi profesional sahaja. Ada jabatan pengadilan tapi begini hasil pengadilnya.
"Kesalahan kecil depan mata. Adakah pengadil rabun atau buat-buat rabun. Belajarlah jadi badan pengurusan bola sepak yang adil dan saksama, Stuart Michael Ramalingam (Setiausaha Agung FAM)," katanya.
Ujar seorang lagi pengguna Facebook, Ujang Ujang, pengadil tempatan menjadi salah satu faktor punca perkembangan bola sepak Malaysia tidak berkembang.
"Pengadil Malaysialah sebenarnya yang merosakkan kemajuan bola sepak Malaysia. Jelas dan nyata pengadil-pengadil yang ada tidak memiliki standard untuk mengadili perlawanan dalam liga bola sepak Malaysia.
"FAM harus bertindak segera jika mahu bola sepak negara maju ke hadapan. Pengadil dan FAM semuanya kayu," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram