Mohd Suhaimi dalam radar JDT ganti Farizal


  • Podium
  • Rabu, 24 Nov 2021

MOHD Suhaimi beraksi cemerlang bersama TFC selepas menggantikan Rahadiazli sebagai penjaga gol utama musim ini. — Agensi

PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Mohd Suhaimi Husin dikhabarkan bakal menyertai pasukan gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim hadapan, menggantikan Mohd Farizal Marlias yang kian dimamah usia.

Khabar angin tentang perpindahan Mohd Suhaimi bertiup kencang selepas pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik komen di Instagram pasukan TFC dengan memberikan reaksi tahniah kepada pemain tersebut sejurus tamat perlawanan Piala Malaysia antara TFC dan Selangor FC baru-baru ini.

Mohd Suhaimi, 27, bermain baik untuk pasukan TFC pada musim ini apabila merekod lapan perlawanan tanpa bolos dalam 17 penampilan dalam Liga Super.

Beliau dibawa masuk menggantikan dari TFC II untuk menggantikan Rahadiazli Rahalim yang mengalami kecederaan pada musim ini.

Suhaimi Hussin

KOMEN Tunku Ismail yang mencetuskan khabar angin perpindahan Mohd Suhaimi ke JDT. — Instagram

JDT tentunya mahu menggantikan Mohd Farizal yang bakal menginjak usia 37 tahun pada tahun hadapan.

Pasukan selatan tanah air itu masih memiliki penjaga gol muda seperti Muhammad Haziq Nadzli tetapi prestasinya di JDT II belum mampu meyakinkan pengurus pasukan, Benjamin Mora untuk memberikannya peluang dalam skuad utama.

Perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menemukan TFC dan JDT tentunya akan memberi lebih banyak peluang kepada Mohd Suhaimi untuk membuktikan kemampuannya di hadapan Tunku Ismail.

Malahan, sekiranya TFC kehilangan khidmat Mohd Suhaimi pada musim hadapan, mereka masih memiliki Rahadiazli yang tidak kurang hebatnya dan pernah dipanggil ke skuad kebangsaan sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram