Peristiwa sawah jadi laut di Krian, balasan makan harta anak yatim?


  • Mukmin
  • Selasa, 23 Nov 2021

KISAH legenda di Ban Pecah, Tanjung Piandang, Perak perlu dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak sesekali menganiaya anak yatim.

DALAM Islam, harta anak yatim adalah suatu amanah yang perlu dijaga dan individu lain yang memakan harta itu dianggap haram dan berdosa besar.

Kejadian di Ban Pecah yang terletak di Tanjung Piandang, dekat Krian, Perak semestinya memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak sesekali memakan harta anak yatim.

Menurut perkongsian di laman TikTok, pengguna dyamohamad90 mendakwa, Pantai Ban Pecah pada sekitar tahun 60-an merupakan satu kawasan pedalaman sawah padi yang sangat subur.

Dyamohamad berkata, ia dimiliki oleh penduduk kampung dan dua beradik yang juga merupakan orang kaya.

Sebelum bapa kepada dua beradik itu meninggal dunia, katanya, arwah telah mewasiatkan bapa saudara untuk menjaga kedua-duanya serta sawah padi miliknya.

Malangnya, apabila kedua-dua beradik itu meningkat dewasa, bapa saudara mereka enggan menyerahkan semula tanah sawah padi itu.

Terasa dianiaya, anak-anak yatim itu lantas berdoa kepada Allah SWT untuk meminta keadilan.

Doanya berbunyi: "Ya Allah, jika benar apa yang berlaku ini maka Engkau tunjukkanlah balasanMu,"

Selepas mereka berdoa, Dyamohamad berkata, kawasan sawah padi itu bertukar menjadi pantai membuatkan penduduk menjadi cemas.

Katanya, segala usaha telah dilakukan untuk mengawal perkara itu termasuk menambak air laut, namun, ia tidak berkesan.

Tambahnya, penduduk kampung juga telah memanggil bomoh dan mengorbankan beberapa ekor lembu putih sehingga banyak tulang-tulang lembu bertaburan di tepi pantai.

Malah, katanya, ada juga penduduk mengakui bahawa dia melihat objek seperti pintu air ban di tengah-tengah pantai ketika air surut.

"Jika air laut benar-benar surut, pintu air ban di tengah-tengah pantai akan kelihatan.

"Pintu air ban itu membuktikan yang kawasan pantai ini merupakan satu daratan suatu ketika dahulu," katanya.

Sama ada benar atau tidak sejarah Ban Pecah, ia tetap memberi pengajaran kepada kita bahawa sesungguhnya doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan ALLAH SWT, apatah lagi jika ia melibatkan anak yatim.

Ini kerana dalam Islam, doa anak yatim adalah doa yang mustajab dan memiliki kemungkinan besar akan dikabulkan oleh ALLAH SWT. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

Ada seseorang yang datang kepada Rasulullah SAW dan mengeluh kekerasan hatinya. Nabi pun bertanya,”Sukakah kamu jika hatimu menjadi lunak dan keperluanmu terpenuhi? Kasihanilah anak yatim, usaplah wajahnya, dan berilah makan dari makananmu, nescaya hatimu menjadi lunak dan keperluanmu akan terpenuhi.” (HR. Ath-Thabrani)

Hadis tersebut menunjukkan bahawa dengan berbuat baik dan melayani anak yatim yang memerlukan akan memberikan manfaat bagi kita.

Manakala dalam al-Quran, ALLAH SWT memberi peringatan kepada golongan yang suka mengherdik anak yatim dan enggan memberi makan fakir miskin. ALLAH SWT menyebut golongan itu sebagai pendusta agama:

“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.” (Surah al-Maun: 1-3)

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (Surah al-Nisa’: 10)

Dengan berbuat baik pada anak yatim, nescaya kebaikan tersebut juga akan kembali kepada kita dalam bentuk yang tidak kita duga–duga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

anak yatim, Ban Pecah, Perak