DUA bintang sensasi bola sepak tempatan, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat masih terus berteka-teki mengenai hala tuju masing-masing musim depan.
Meskipun kedua-duanya disebut-sebut bakal menyeberangi Laut China Selatan lalu berhijrah ke Sabah FC sebagai destinasi baharu masing-masing seperti mana yang hangat diperkatakan peminat bola sepak tempatan ketika ini, Baddrol dan Khairul Fahmi sebaliknya lebih selesa mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ untuk berbicara lebih lanjut berhubung spekulasi perpindahan itu.
“Maaf, saya sedang memandu serta ada urusan penting.
“Nanti bila selesai, saya akan hubungi semula,” kata Baddrol ringkas kepada Majoriti.
Terdahulu, masa depan Baddrol bersama Kedah Darul Aman FC mula menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila dikatakan akan kembali bersatu bersama sifunya ketika skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee yang kini jurulatih Sabah FC.
Spekulasi itu semakin hangat diperkatakan peminat apabila Baddrol memuat naik status InstaStory yang mengimbau semula kenangan bersama skuad Harimau Muda ketika meraih emas bola sepak temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia.
Selain Baddrol, nama Khairul Fahmi yang juga sebahagian daripada skuad emas Sukan SEA turut disebut-sebut bakal memperkuatkan skuad Sabah FC musim depan.
Dalam pada itu, Khairul Fahmi semasa dihubungi Majoriti juga enggan melayan sentimen luar padang termasuk spekulasi yang membabitkan masa depannya.
Sebaliknya, Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan Apek mahu kekal komited membantu Melaka United menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur City di Stadium KLFA, Cheras malam Isnin.
“Saya tidak mahu fikir benda lain, saya hanya mahu fokus dengan perlawanan malam ini,” tegasnya kepada Majoriti.
Ketika ditanya sama ada sudah menerima sebarang tawaran dari Sabah FC, Khairul Fahmi juga enggan mengulas lanjut.
“Tunggulah lepas habis perlawanan, nanti kita sembang,” ujar Khairul Fahmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram