SKUAD Sabah FC dilaporkan benar-benar berminat mendapatkan sentuhan dua bintang sensasi bola sepak tempatan, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat bagi memperkuatkan pasukan itu musim depan.
Ini kerana, sumber memberitahu Majoriti, usaha bagi memikat kedua-dua bintang itu sudah pun dimulakan skuad dari Borneo itu, namun segala-galanya masih di peringkat awal untuk diperinci dan didedahkan kepada media.
Menurut sumber itu lagi, keputusan akhir juga kini terletak di tangan Baddrol dan Khairul Fahmi sama ada bersetuju ataupun tidak untuk menyertai Sabah FC musim depan.
“Masih terlalu awal... Apa yang boleh dikatakan buat masa ini tawaran memang ada.
“Tidak dinafikan, sudah pasti banyak pasukan yang cukup berminat dengan pemain berkualiti seperti Baddrol dan Khairul Fahmi.
“Cuma terpulang kepada mereka (mahu menyertai Sabah FC atau tidak), ketika ini semua pihak harus menghormati keputusan pemain dan juga majikan masing-masing, tidak banyak yang boleh diperkatakan selagi saingan musim ini belum tamat,” katanya kepada Majoriti.
Sabah FC yang menamatkan saingan di tangga kesembilan Liga Super musim ini kini dikendalikan jurulatih versatil dan berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee.
Perjalanan The Rhinos dalam saingan Piala Malaysia 2021 juga tersekat di peringkat suku akhir apabila tewas menerusi agregat 1-3 kepada Melaka United pada awal November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram