Gerrard tak sabar kembali semula ke Anfield


  • Podium
  • Selasa, 16 Nov 2021

GERRARD tak sabar kembali semula ke Anfield sebagai bos baharu Aston Villa. — Agensi

BOS baharu Aston Villa, Steven Gerrard mengakui dia tidak akan dapat mengawal suasana 'riuh rendah' di Anfield menjelang pertemuan semula dengan bekas kelabnya, Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 11 Disember depan.

Legenda The Reds itu dilantik sebagai pengurus baharu Aston Villa minggu lalu bagi menggantikan Dean Smith.

Gerrard menghabiskan masa lebih tiga tahun untuk mengendalikan Glasgow Rangers sebelum memenangi Liga Perdana Scotland musim lepas buat kali pertama dalam sedekad untuk kelab itu.

Pengurus berusia 41 tahun itu baru saja mengharungi minggu pertamanya sebagai bos Aston Villa dan baru-baru ini telah ditemu bual sejak mengambil alih tugas di Villa Park.

Gerrard ditanya mengenai prospek untuk kembali ke Liverpool buat kali pertama sebagai pengurus sejak meninggalkan kelab berprestij itu sebagai pemain pada 2015.

Dia pernah mengendalikan pasukan Bawah-18 Liverpool selama setahun pada 2017/18 sebelum berpindah ke Rangers dan ini akan menjadi kali pertama dia kembali ke Merseyside sejak meninggalkan Anfield.

“Saya tidak fikir saya atau orang lain akan dapat mengawal suasana riuh seperti itu, tetapi bagi saya itu tidak penting,” kata Gerrard kepada Villa TV.

“Apa yang penting ialah peluang untuk pergi ke Anfield dan menang serta mencuba dan mengambil tiga mata maksimum, iaitu sikap dan mentaliti yang akan kami ada dalam setiap perlawanan.

“Pendek kata, saya mahu memenangi setiap perlawanan. Sekarang keutamaan saya, tumpuan dan segala yang saya akan berikan setiap hari adalah untuk Aston Villa.

“Satu perkara yang saya boleh jamin untuk semua penyokong, pemain dan semua kakitangan di sini ialah apabila saya komited untuk sesuatu, saya bersedia,” tegas Gerrard. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram