Suami yang mabuk, isteri pula yang dipenjara


  • Benua
  • Selasa, 16 Nov 2021

VALENCYA (tengah) bingung apabila dihukum penjara setahun angkara selalu memarahi suaminya yang mabuk. — Agensi

SUAMI yang mabuk, isteri pula yang dijel. Gara-gara selalu mencaci maki suaminya yang sering mabuk dengan kata-kata kesat, seorang ibu dua anak di Karawang, Jawa Barat, Indonesia dilaporkan berdepan dengan hukuman penjara setahun.

Dalam sesi perbicaraan di mahkamah di Karawang, Jawa Barat, wanita yang dikenali sebagai Valencya, 45, itu memberitahu hakim, fakta yang dikemukakan oleh peguam bela suaminya, Chan Yu Ching, seorang warganegara Taiwan adalah tidak tepat dan dia berasa keberatan untuk dipenjara hanya kerana memarahi suaminya pulang dalam keadaan mabuk, lapor Tribune Jabar News.

“Barisan juri menuntut saya dihukum penjara selama setahun. Adakah seorang isteri tidak boleh menegur suami yang sering mabuk?

“Adakah isteri perlu menyambut kepulangan suami yang mabuk dengan penuh mesra dan senyuman?” soal wanita itu.

Susulan keputusan mahkamah itu, hakim kemudiannya meminta wanita itu mengemukakan hujah pembelaan pada minggu depan sebelum keputusan dibuat.

Terdahulu, barisan juri sebelum ini menuntut wanita itu dipenjara selama setahun selepas mendapati dia melanggar Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2004 mengenai Penghapusan Keganasan Rumah Tangga terhadap suaminya yang berasal dari Taiwan.

Wakil juri, Glendy Rivano ketika ditemui media berkata, wanita tersebut sering memarahi suaminya menggunakan kata-kata kesat sehingga menyebabkan psikologi lelaki itu terganggu.

Kes itu dibawa ke mahkamah selepas wanita itu membuat laporan mendakwa suaminya mengabaikan dia serta anak-anak kerana sering mabuk. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram