SEORANG wanita maut manakala suaminya cedera parah selepas motosikal yang dibonceng terbabas akibat terlanggar seekor babi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kejadian berlaku di Kilometer 2 Jalan Air Mawang-Renggoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Isnin.
Katanya, dalam kejadian pada jam 8.15 pagi itu, Norlela Mohamed Sharif, 35, membonceng motosikal jenis Suzuki Smash yang ditunggang oleh suaminya, Karim Amrullah Ab Maid, 40.
"Wanita tersebut maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala suaminya yang juga mengalami cedera parah di kepala telah dibawa ke Hospital Tampin.
"Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri tersebut dari rumah mereka di Kampung Melekai, Johol menuju ke tempat kerja di kedai makan di Kampung Air Mawang.
"Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, motosikal mereka telah melanggar seekor binatang dipercayai babi yang sedang melintas menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas jalan," katanya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Pilah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram