APA agaknya yang difikirkan pemandu ini sehingga sanggup berhenti di lorong paling kanan jalan raya semata-mata untuk membeli jeruk mangga.
Tambah menyakitkan hati apabila kenderaan yang berada di belakang bukan sahaja terkejut dengan tindakan itu, malah turut dilanggar kenderaan lain dari belakang.
Tindakan berbahaya pemandu yang dipercayai berlaku di Bukit Minyak, Seberang Perai, Pulau Pinang pada Isnin itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya dan mendapat kecaman netizen.
Menerusi video berdurasi 53 saat itu, kereta jenis Proton Waja itu berada di lorong tengah sebelum secara tiba-tiba berhenti di lorong paling kanan.
Kereta itu kemudian membeli jeruk mangga daripada seorang penjual yang berada di tepi jalan raya.
PEMANDU terbabit tiba-tiba berhenti di lorong paling kanan semata-mata untuk membeli jeruk mangga.
Akibat sikap pentingkan diri itu, kenderaan perakam video itu telah dilanggar tanpa sengaja oleh kenderaan lain dari belakang.
Peliknya, pemandu kereta Proton Waja itu juga seakan tidak peduli dengan apa yang berlaku dan terus berlalu pergi selepas mendapat jeruk mangga yang dibelinya.
Menjengah ke ruangan komen, akaun Facebook bernama Maria Sonia Kamarozalli berkata, peniaga mangga di lampu isyarat ini satu tindakan tidak patut.
"Memang la kau cari rezeki tapi tempat itu tak sesuai dan hanya akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Ada juga komen yang mengatakan bawah tindakan pemandu itu mungkin disebabkan isterinya sedang bersalin dan mengidam jeruk mangga.
Harus diingat jalan raya adalah satu kawasan yang sangat berbahaya apatah lagi dengan jumlah kenderaan bertali arus.
Carilah kawasan yang tenang supaya kita bukan sahaja tidak membahayakan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram