Klopp tiru stail Ferguson


  • Podium
  • Selasa, 16 Nov 2021

KLOPP 'pening kepala' apabila kerap kehilangan para pemainnya akibat kecederaan sejak menjadi bos Liverpool. — Reuters

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp berulang kali membidas jadual perlawanan yang padat ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England.

Beliau acap kali menggunakan sidang media sebagai medium untuk menyatakan kemarahannya selepas sering kali kehilangan para pemainnya akibat kecederaan ketika rehat aksi antarabangsa.

Baru-baru ini, Jordan Henderson dan Sadio Mane berdepan kecederaan sewaktu beraksi untuk pasukan kebangsaan masing-masing.

Meskipun kecederaan Henderson masih belum disahkan namun situasi tersebut tentu membuatkan Klopp 'pening kepala'.

Bagaimanapun, para peminat dan beberapa pengulas membidas langkah Klopp yang tidak berbelanja besar ketika jendela perpindahan musim panas lalu. Beliau hanya membeli Ibrahima Konate dan tidak mencari pengganti bagi Mane mahu pun Mohamed Salah.

Sebelum ini, bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson berjaya menolak sebarang panggilan pasukan kebangsaan untuk majoriti pemain England dengan alasan kecederaan.

Pemain legenda kelab tersebut, Ryan Giggs juga hanya bermain untuk Wales sebanyak 64 kali selama 16 tahun. Daripada 40 perlawanan persahabatan Wales antara 1991 dan 2007, Giggs terlepas 30 perlawanan.

Namun daripada 30 perlawanan tersebut, Giggs bermain dalam perlawanan seterusnya untuk Man United sebanyak 17 kali.

Klopp dan Ferguson memiliki hubungan persahabatan yang cukup akrab sekian lama serta Klopp dilihat cuba menerapkan beberapa idea Ferguson bagi memastikan beliau tidak kehilangan ramai pemainnya sejak mengendalikan Liverpool.

Bagaimanapun, usaha Klopp untuk tidak membenarkan para pemainnya bermain bagi pasukan kebangsaan kali ini berdepan pelbagai rintangan antaranya niat Salah untuk bermain dalam Sukan Olimpik dan keputusan pengurus England, Gareth Southgate mengenai bagaimana untuk meletakkan Trent Alexander-Arnold dalam skuad England.

Malahan, Piala Dunia yang bakal berlangsung pada musim sejuk di Qatar tahun hadapan bakal memburukkan lagi keadaan buat Klopp.

Berbaki empat hari sebelum Liverpool menentang Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Klopp masih mengharapkan kesemua para pemainnya akan cergas.

Sekiranya Mane atau Henderson masih tidak cergas menjelang pertemuan itu, Klopp tentunya akan 'menyalahkan' jadual perlawanan sekali lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram