Klopp buru pengganti Salah, Mane Januari depan


  • Podium
  • Isnin, 15 Nov 2021

KLOPP (kanan) tidak menolak kemungkinan memburu dua penyerang baharu bagi menggantikan Salah dan Mane ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula Januari tahun depan. — Agensi

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp tidak menolak kemungkinan untuk memburu dua penyerang baharu bagi menggantikan Mo Salah dan Sadio Mane ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula pada Januari tahun depan.

Khidmat kedua-dua penyerang itu dijangka ditagih pasukan kebangsaan masing-masing — Mesir dan Senegal — dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika 2022.

Selain Salah dan Mane, khidmat Naby Keita juga besar kemungkinan turut terpaksa dilupakan The Reds apabila dijangka menyarung jersi Cameroon untuk kejohanan itu nanti.

“Ia bergantung kepada situasi skuad ketika itu,” kata bos The Reds itu.

"Ia tidak ideal, semua orang tahu. Piala Negara-Negara Afrika, mereka mempunyai hak untuk bermain kejohanan itu sama seperti kejohanan Euro dan Copa America.

"Kami mengetahuinya, kami perlu menanganinya dan kami akan menanganinya. Bagaimana? Kami perlu lihat pada Januari.

"Orang ramai mengatakan sekarang bahawa kami perlu menandatangani dua penyerang yang mempunyai kualiti yang sama seperti Sadio dan Mo, tetapi itu bukan penyelesaian kerana kami tidak mampu melakukannya. Jadi kami perlu mencari penyelesaian pada Januari."

Setakat ini, Liverpool sekadar mendapatkan seorang pemain baharu iaitu Ibrahima Konate dengan kontrak perpindahan pemain sebanyak £36 juta (RM202.6 juta) dari RB Leipzig.

Dalam pada itu, Klopp juga pada mulanya menjangka Divock Origi telah berhijrah musim panas lalu, namun penyerang itu membuat keputusan untuk kekal di Anfield.

"Sejujurnya 100 peratus, saya fikir dia akan pergi tetapi dunia bola sepak sememangnya gila dan orang lupa betapa hebatnya Origi," kata Klopp. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

klopp, mane, salah, liverpool,