Conte paling mewah, Gerrard 'termiskin'


  • Podium
  • Isnin, 15 Nov 2021

CONTE berkemungkinan bakal membawa masuk beberapa pemain baharu bagi mengukuhkan skuad Spurs. — Reuters

EDDIE Howe sah menggantikan Steve Bruce sebagai pengurus baharu Newcastle United. Pasukan itu kini berada di kedudukan ke-19 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berada di zon penyingkiran.

Cabaran buat Howe adalah memaksimumkan skuad sedia ada sambil mengintai peluang untuk 'memborong' pemain pada jendela perpindahan musim sejuk (Januari).

Selepas dibeli oleh Putera Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), Magpies kini dijangka mengorak langkah besar dalam jendela perpindahan untuk membina skuad bagi memburu mata dalam liga, sekali gus mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan.

Newcastle dikaitkan dengan beberapa pemain terkemuka seperti bintang Real Madrid, Eden Hazard dan Karim Benzema. Dikhabarkan, bajet perpindahan yang tersedia untuk Howe adalah 200 juta pound (RM1.1 bilion).

Dengan nilai ini, Howe mungkin boleh mendapatkan sekurang-kurangnya tiga pemain baharu bertaraf bintang bergantung kepada harga pasaran.

Bagaimanapun, menurut kajian dikeluarkan oleh Mail Online, Howe tidak dibenarkan membelanjakan wang yang banyak sekiranya kelab berkenaan mahu mematuhi peraturan Financial Fair Flay (FFP).

Itu bermakna, pengurus baharu Tottenham Hotspur, Antonio Conte berkemungkinan membelanjakan wang yang paling banyak pada Januari.

Di bawah peraturan FFP, kelab EPL hanya dibenarkan untuk mencatatkan kerugian sehingga 105 juta pound (RM585 juta) dalam tempoh tiga tahun untuk perbelanjaan. Tetapi mereka boleh berbelanja lebih jika mendapat keuntungan besar.

"Perbelanjaan bersih Spurs sejak 2010 adalah antara suku dan separuh daripada pendapatan enam pasukan teratas yang lain.

"Spurs merupakan kelab paling berjaya dari segi mengekalkan tahap gaji rendah mengikut nisbah pendapatan yang dijana oleh kelab tersebut.

"Spurs memiliki model perniagaan berbanding model yang memenangi trofi, yang bagus untuk kelab yang tidak pernah memenanginya dalam tempoh 13 tahun," ujar pensyarah kewangan bola sepak di Universiti Liverpool, Kieran Maguire.

Walau bagaimanapun, masih belum jelas berapa banyak wang yang akan diberikan oleh pemilik Spurs, Daniel Levy kepada Conte pada Januari kelak.

Lain pula ceritanya bagi pengurus baharu Aston Villa, Steven Gerrard yang hanya mempunyai peruntukan 5 juta pound untuk mengemudi kelab baharunya itu.

Berikut merupakan dana perbelanjaan yang dibenarkan keluar dari 'kantung' kewangan kelab EPL supaya tidak melanggar FFP:

1. Tottenham Hotspur: 400 juta pound (RM2.2 bilion)

2. Liverpool: 273 juta pound (RM1.5 bilion)

3. Manchester United: 243 juta pound (RM1.35 bilion)

4. Chelsea: 241 juta pound (RM1.34 bilion)

5. Arsenal: 201 juta pound (RM1.1 bilion)

6. Burnley: 171 juta pound (RM952 juta)

7. Newcastle United: 166 juta pound (RM924 juta)

8. Leeds United: 99 juta pound (RM551 juta)

9. Norwich City: 92 juta pound (RM512 juta)

10. Brentford: 88 juta pound (RM490 juta)

11. Brighton and Hove Albion: 85 juta pound (RM473 juta)

12. Manchester City: 84 juta pound (RM468 juta)

13. Leicester City: 79 juta pound (RM440 juta)

14. West Ham United: 71 juta pound (RM395 juta)

15. Wolverhampton Wanderers: 70 juta pound (RM390 juta)

16. Crystal Palace: 66 juta pound (RM367 juta)

17. Watford: 60 juta pound (RM334 juta)

18. Southampton: 37 juta pound (RM206 juta)

19. Everton: 35 juta pound (RM195 juta)

20. Aston Villa: 5 juta pound (RM27 juta)

Pastinya perpindahan Januari nanti menjadi detik paling sibuk buat kelab EPL kerana cabaran liga yang semakin sengit selain krisis kecederaan dan prestasi yang mengganggu sesetengah kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram