Lagi kejadian 'scam' palsukan kemalangan, kali ini di Skudai


  • Tular
  • Ahad, 14 Nov 2021

TANGKAP layar rakaman dashcam yang menunjukkan seorang lelaki meluru ke arah kereta yang menghampirinya.

MINGGU lalu, satu kejadian 'scam' memalsukan kemalangan, dipercayai untuk menuntut wang insurans atau meminta wang, yang berlaku di hadapan Stadium Darul Aman, Alor Setar tular di media sosial.

Pada Ahad, tular video kejadian yang hampir sama dan kali ini berlaku di sebuah kawasan dipercayai di perumahan di Taman Universiti, Skudai, Johor.

Insiden itu berjaya dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) milik seorang pemandu wanita yang melalui kawasan terbabit.

Menerusi video yang tular itu, seorang lelaki yang kelihatan sedang berjalan di tepi jalan sebelum tiba-tiba berlari laju ke tengah jalan raya apabila kenderaan yang dipandu wanita itu menghampirinya.

Mujur pemandu berkenaan sempat memberhentikan kenderaannya, tetapi lelaki itu meluru ke bahagian hadapan kereta itu dan berlakon seolah-olah dia dilanggar.

Menurut pemandu berkenaan, kejadian itu berlaku di Jalan Kemuliaan 37.

Pada 8 November lalu, Majoriti melaporkan insiden sama berlaku di hadapan Stadium Darul Aman, juga melibatkan seorang lelaki.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pelaku adalah orang yang sama atau tidak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram