KEDUDUKAN pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer nampaknya masih lagi goyah dengan tiada kata muktamad daripada pasukan.
Antonio Conte yang sebelum ini disebut bakal menggalas jawatan itu juga sah mengendalikan Tottenham Hostpur.
Dua lagi nama iaitu Brendan Rodgers dan bekas jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane juga disebut-sebut sebagai pengganti Solskjaer.
Semestinya bila pertukaran pengurus berlaku, maka akan ada juga perubahan strategi pasukan dan perkara itu akan melibatkan pemain.
Berikut adalah pemain yang berkemungkinan akan dibawa bersama oleh Zidane sekiranya dia bergelar pengurus Manchester United.
Karim Benzema — Walaupun semakin berusia, Benzema mempunyai kemampuan yang cukup baik di atas padang.
Malah, dia telah menjaringkan 14 goal dalam 15 perlawanan sekaligus membuatkan dia dipanggil untuk beraksi bersama pasukan kebangsaannya, Perancis.
Kesefahaman yang baik antaranya dan Cristiano Ronaldo juga dilihat mampu menggerunkan lawan.
Dani Carvajal — Antara pemain yang paling sesuai untuk dibawa masuk ke MU oleh Zidane.
Walaupun telah berbelanja besar iaitu sebanyak RM229 juta untuk mendapatkan Aaaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace pada 2019, Manchester United dilihat masih terus bernafsu untuk mengambil Kieran Trippier pula.
Tindakan itu bagi menguatkan benteng pertahanan pasukan. Berkemungkinan Zidane akan cuba mengubah calon dan beralih kepada Carvajal.
Namun, Carvajal masih mempunyai kontrak selama empat musim bersama Real Madrid dan usaha mengambilnya mungkin akan membuatkan Manchester United terpaksa berbelanja besar sekali lagi.
Toni Kroos — Ramai yang beranggapan bahawa Kroos adalah pemain yang cukup bernilai jika dibawa ke Manchester United.
Kroos berpindah dari Bayern Munich ke Real Madrid ketika dia di puncak kerjayanya dan kemampuannya di bawah Zidane memang sangat terbukti.
Ada khabar angin yang mengatakan bahawa Kroos akan menjadikan Liga Perdana Inggeris sebagai destinasi terakhir dia menempa nama sebelum memilih untuk bersara.
Isco — Seusia dengan Carvajal cuma bonusnya ialah kerana tiada bayaran perpindahan dikenakan kerana Isco bakal menjadi ejen bebas pada musim depan.
Berkemungkinan juga Isco akan kekal bersama dengan Santiago Bernabeu namun pasukan tersebut juga tidak akan terkesan jika dia memilih untuk bersama pasukan lain.
Mungkin ada yang menyatakan bahawa Manchester United sudah mempunyai pemain hadapan yang cukup banyak tetapi perlu diingat, Isco adalah pemain yang sering menjadi pilihan dalam kesebelasan utama dalam Real Madrid sebelum ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram