Mekanik maut diserang sakit jantung ketika pertandingan badminton di Jerantut


  • 112
  • Isnin, 15 Nov 2021

MANGSA tidak sempat menghabiskan perlawanan peringkat suku akhir kerana mengadu sakit dada sebelum rebah.— Facebook

AWALNYA mengadu sakit dada, seorang mekanik motosikal meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai pertandingan badminton di Dewan Badminton Jerantut Centre, Pahang pada Ahad.

Dalam kejadian itu, mangsa Mohamad Fadzil Mokhtar, 34, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa tidak sempat menghabiskan perlawanan peringkat suku akhir kerana mengadu sakit dada.

"Mangsa kemudian berhenti bermain, lalu berehat di tepi gelanggang dan tiba-tiba rebah lalu meninggal dunia.

"Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4 petang mengenai kejadian seorang lelaki meninggal dunia ketika menyertai perlawanan badminton," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Azman lagi, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jerantut pada pukul 4.50 petang.

Dia turut disahkan negatif jangkitan Covid-19 selepas saringan dilakukan.

"Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan serangan jantung.

"Pemeriksaan fizikal ke atas si mati mendapati tiada sebarang kecederaan sama ada perbuatan khianat atau jenayah," ujarnya.

Menurut beliau lagi, mangsa bekerja sebagai mekanik motosikal di Felda Jengka 8 dan hadir ke dewan pertandingan pada jam 10 pagi untuk menyertai pertandingan badminton. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mekanik, maut, sakit jantung, jerantut, badminton, PDRM