'Man United hanya beli Ronaldo untuk popular di media sosial, bukannya demi trofi'


  • Podium
  • Selasa, 09 Nov 2021

RONALDO dilaporkan mula panik dengan standard Man United yang tampak merudum berbanding sebelum dia meninggalkan Old Trafford pada 2009.

TERDAPAT beberapa laporan mendakwa bahawa kepulangan semula Cristiano Ronaldo telah memberi kesan negatif kepada Manchester United musim ini.

Pemilik Crystal Palace, Simon Jordan turut bersetuju dengan dakwaan itu, malah dia menegaskan bahawa penyerang sensasi berusia 36 tahun itu hanya dibawa semula ke Old Trafford untuk menjana "klik" di media sosial.

"Pembelian pemain seperti Ronaldo bukan untuk trofi, sebaliknya untuk klik di media sosial," katanya kepada talkSPORT.

“Ronaldo tidak akan memenangi trofi untuk Man United. Memang benar, dia akan menjaringkan banyak gol untuk Man United dalam banyak perlawanan musim ini.

“Tetapi apabila tiba di sini, adakah Man United akan memenangi liga dan memenangi piala bersama Ronaldo? Saya tidak fikir begitu," jelas Jordan.

Man United telah tewas enam daripada 12 perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan, manakala masa depan pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer tampak samar apabila dilaporkan bakal dipecat bila-bila masa.

Menurut laporan berasingan dalam Daily Mail, Ronaldo kini dikatakan mula panik dengan standard kelab itu yang tampak merudum berbanding sebelum dia meninggalkan Old Trafford dan menyertai Real Madrid pada 2009. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram