Punca Messi lalui karier terburuk dalam tempoh 15 tahun


  • Podium
  • Selasa, 09 Nov 2021

MESSI masih bergelut untuk mencapai prestasi sebenarnya di PSG musim ini. — AFP

ANDAI ditanya siapa pemain bola sepak terbaik dunia ketika ini, kemungkinan besar anda akan menyebut Lionel Messi kerana dia satu-satunya pemain yang meraih enam gelaran Ballon d'Or di dunia.

Cuma, walaupun memegang status sebagai pemain terbaik dunia, tidak bermakna Messi selalu berada di puncak. Perkara itu boleh dilihat pada musim ini selepas Messi menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

Setelah hampir tiga bulan menyertai PSG, Messi masih gagal menjaringkan gol pertamanya dalam kancah liga Perancis atau Ligue 1.

Peliknya, Messi mampu mencatatkan tiga jaringan gol dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini namun di peringkat domestik, tiada sebarang jaringan direkodkan.

Itu merupakan pencapaian terburuk sepanjang karier Messi dalam tempoh 15 tahun.

Sejak kempen musim 2005/2006, Messi hanya perlu menunggu selepas perlawanan kelapan dalam setiap musim liga untuk memburu gol pertamanya. Malah, pada musim 2019/2020, Messi terlepas lima perlawanan pertama kerana masalah kecederaan.

"Ligue 1 adalah liga yang lebih fizikal. Permainan berlangsung dengan pantas. Kesemua pemain kuat dan pantas.

"Di Sepanyol, semua pasukan cuba mengawal bola sebanyak mungkin. Perbezaan terbesar adalah fizikal," ujar Messi seperti dipetik oleh agensi berita Sports.

Selain bermain di liga baharu, Messi juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan posisi. Messi kini diletakkan di bahagian sayap kanan berbanding di posisi tengah menyerang ketika bersama Barcelona.

Secara purata, Messi menyentuh bola hampir 40 peratus kurang di Ligue 1 berbanding yang dia lakukan bersama Barcelona musim lalu. Messi juga tidak efisien dari aspek rembatan dan mencipta peluang di PSG.

Sejak September, Messi menyedari statusnya sebagai pemain bintang tidak dihargai oleh pengurus PSG, Mauricio Pochettino apabila dia digantikan dalam perlawanan menentang Lyon ketika pasukan berkenaan cuba mencari gol kemenangan. Ada juga pihak berpandangan Messi menjadi mangsa 'kekurangan identiti' di PSG. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Messi, PSG, La Liga, Ligue 1, Ballon d'Or