LEGENDA Manchester United, Dimitar Berbatov tidak percaya Liverpool mampu mengekalkan momentum kemenangan menjelang pertemuan berdepan West Ham United di tempat lawan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) tengah malam ini (jam 12.30 tengah malam waktu Malaysia).
Sebaliknya, Berbatov percaya perlawanan itu akan berkesudahan seri 2-2 gara-gara prestasi cemerlang anak-anak buah David Moyes yang masih belum pernah tewas dalam enam aksi domestik dan liga Europa sejak awal Oktober, selain cuma dibezakan dua mata di belakang Liverpool yang kini di tempat ketiga liga dengan 22 mata.
"Ia pastinya perlawanan yang menarik kerana West Ham berada pada prestasi yang cukup bagus.
"Saya tidak fikir akan berlaku kejutan dalam perlawanan ini. Liverpool pernah keciciran mata ketika bertemu Brighton, jadi sudah tentu mereka tidak mahu mengulanginya ketika bertemu West Ham.
"Cuma, anak-anak buah Moyes pastinya sukar untuk ditewaskan terutamanya apabila beraksi di depan penyokong sendiri," kata Berbatov.
Begitupun, legenda Liverpool, Mark Lawrenson percaya skuad kendalian Jurgen Klopp akan menang 2-1 ketika berdepan West Ham sekali gus membawa pulang tiga mata.
"Liverpool akan mematikan prestasi cemerlang West Ham. Liverpool cukup cemerlang ketika menewaskan Atletico Madrid (dalam kempen Liga Juara-Juara), jadi Van Dijk dan Joel Matip merupakan jawapan yang diperlukan Klopp untuk merantai pergerakan penyerang lincah West Ham, Michail Antonio.” — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram