Burnley bertuah dapat curi satu mata — Tuchel


  • Podium
  • Ahad, 07 Nov 2021

TUCHEL menganggap Burnley bernasib baik kerana dapat mencuri satu mata di Stamford Bridge malam tadi. —Agensi

PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel mendakwa Burnley sekadar 'bernasib baik' dapat mencuri satu mata apabila kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge pada Sabtu ketika perasaan marah mula memuncak antara dia dan pengurus lawan, Sean Dyche.

Tuchel dilihat menjerit ke arah Dyche semasa separuh masa pertama selepas tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap kapten Burnley, Clarets Ben Mee yang melakukan terjahan keras terhadap Ross Barkley.

Pemain Burnley, Matej Vydra berjaya memadam gol pembukaan Kai Havertz sekali gus kedua-dua pasukan sekadar berkongsi satu mata meskipun Chelsea melakukan 25 percubaan ke gawang lawan dan mensia-siakan banyak peluang.

"Mereka (Burnley) sangat bertuah. Itulah bola sepak. Itulah sebabnya semua orang menyukai permainan ini.

'Kadang-kadang seperti hari ini (Sabtu), seseorang mencuri beberapa mata. Sama seperti semasa kami bertuah di Brentford (Chelsea menang 1-0) dan ia memang berlaku kadang-kadang," kata Tuchel.

Tuchel juga enggan mengulas lanjut mengenai pertikaman lidah antara dia dan Dyche semasa insiden melibatkan Barkley.

"Saya belajar dalam kerjaya untuk tidak mengulas mengenai pengadil dan jurulatih lain. Saya tidak akan mengulas mengenainya," katanya.

Pada masa sama, Tuchel turut gembira dengan persembahan Barkley yang membuat penampilan pertamanya bersama Chelsea musim ini.

"Barkley telah menunggu lama untuk beraksi, sudah tentu dia marah apabila terpaksa digantikan.

"Terdapat banyak persaingan dalam kedudukannya. Anda perlu bersedia jika anda bermain untuk Chelsea," tegas Tuchel.

Meskipun seri, Chelsea tetap unggul di persada EPL apabila mengutip 26 mata selepas 11 perlawanan, dua mata di depan pencabar terdekat, Man City yang menewaskan Man United 2-0 dalam satu lagi aksi liga pada Sabtu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tuchel, dyche, chelsea, burnley, epl,