BRUNO Fernandes menyeru rakan sepasukannya untuk melihat diri mereka dalam ‘cermin’ dan memahami apa yang boleh mereka lakukan dengan lebih baik untuk Manchester United.
Dia dan rakan-rakan sepasukan mengalami satu lagi pengalaman ngeri apabila ditewaskan Manchester City 0-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu tatkala luka dibelasah Liverpool 0-5 dua minggu lalu masih belum sembuh sepenuhnya.
Kekalahan itu menyaksikan anak-anak buah Ole Gunnar Solksjaer ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea yang seri 1-1 menentang Burnley dalam satu lagi aksi EPL pada Sabtu.
Fernandes mendakwa, semua orang di kelab itu sedar bahawa prestasi Man United di Old Trafford pada Sabtu sekali lagi 'tidak cukup baik' seperti mana ketika ditewaskan Liverpool.
Bercakap kepada MUTV selepas perlawanan, Fernandes berkata: “Jelas sekali semua orang kecewa dengan keputusan dan prestasi kami.
“Kami tahu boleh melakukan lebih baik dan kami tahu ini tidak cukup bagus untuk pemain yang mewakili kelab besar seperti Man United... kami perlu melihat cermin.
"Saya mengatakan perkara yang sama saja seperti temu bual yang lalu... tetapi itu saja.
"Kita perlu melihat diri kita sendiri dan memahami apa yang boleh kita lakukan dengan lebih baik untuk membantu pasukan," tegas Fernandes.
Tonggak pertahanan Man United, Eric Bailly tak sengaja menjaringkan gol sendiri dalam pertemuan itu sebelum Bernando Silva melengkapkan mimpi ngeri tuan rumah di Old Trafford. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram