Suarez sempat berbual dan peluk Henderson


  • Podium
  • Khamis, 04 Nov 2021

KEDUA-DUA pemain ini memiliki hubungan baik sejak sekian lama. — Getty Images

LUIS Suarez dan Jordan Henderson dilihat sempat berbual dan berpelukan antara satu sama lain selepas Liverpool menewaskan Atletico Madrid 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield pada awal pagi Khamis.

Kemenangan untuk skuad kendalian Jurgen Klopp bermakna The Reds layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, sementara anak-anak buah Diego Simeone kini terpaksa bersaing dengan AC Milan dan Porto untuk tempat kedua dalam Kumpulan B.

Dengan Antoine Griezmann digantung akibat kad merah semasa menentang The Reds dua minggu lalu, Suarez mengetuai jentera serangan Atletico ketika dia kembali ke Anfield buat kali kedua sejak meninggalkan kelab itu pada 2014.

Bekas wira The Kops itu diejek penyokong untuk sebahagian besar perlawanan, tetapi tetap berkawan rapat dengan Henderson dan mengejar kapten Liverpool itu ketika kedua-dua pemain itu menuju ke terowong pada rehat babak pertama.

Pasangan itu saling memuji antara satu sama lain sebelum perlawanan apabila Henderson mendakwa Suarez mempunyai pengaruh besar dalam kariernya manakala Suarez memberi penghormatan kepada Henderson yang menjadi antara watak penting kebangkitan The Reds.

"Saya fikir (Jordan Henderson) adalah pemain yang telah meningkat dengan begitu pantas," kata pemain antarabangsa Uruguay itu kepada BT Sport.

Suarez menambah: "Apabila dia menyertai Liverpool, dia datang dengan tekanan yang hebat. Dia masih muda, pemain England yang datang dari Sunderland. Ini mungkin memberi tekanan kepadanya.

"Tetapi apabila dia semakin yakin dengan pasukan, dia banyak belajar daripada Gerrard dan pemain berpengalaman seperti Carragher, selain banyak bertanya daripada saya. Dia telah belajar daripada semua orang, dia telah matang dalam erti kata itu dan telah menjadi pemain yang hebat.

"Henderson menunjukkan kewibawaannya dalam setiap perlawanan. Ini adalah sesuatu yang dia pelajari daripada Steven (Gerrard) pada masa itu.

"Sebagai kapten, dia semakin matang. Sepanjang kariernya, Henderson telah menjadikan Liverpool berkembang dan dia adalah contoh teladan untuk bola sepak Inggeris," kata Suarez. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram