JPJ sahkan 'saman tak laju' kesilapan teknikal, Alphard jadi kenderaan berat


  • 112
  • Selasa, 02 Nov 2021

ZAILANI menasihatkan orang ramai supaya berhubung terus dengan pihak JPJ jika menerima saman yang sama.

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bahawa saman yang dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan Toyota Alphard di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Taiping, Perak adalah kesilapan teknikal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, perkara itu berlaku berikutan kesilapan data yang direkod kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

"Ia adalah kesilapan teknikal terhadap kamera AWAS yang merekodkan kenderaan Toyota Alphard sebagai kenderaan berat.

"Dalam sistem, had laju untuk kenderaan berat adalah 90 kilometer sejam (km/j)," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, susulan kejadian itu, pihak JPJ telah melupuskan saman tersebut dan pada masa sama melakukan semakan semula terhadap sistem AWAS.

Katanya lagi, pihaknya dengan kadar segera melakukan kawalan dan pemantauan untuk memastikan supaya kejadian sama tidak berulang.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhubung terus dengan pihak JPJ jika menerima saman yang sama.

"Laporkan kepada pihak JPJ jika ada sebarang kemusykilan tentang saman yang diterima.

"Hanya pihak JPJ sahaja yang boleh mengesahkan perkara tersebut dan melakukan tindakan susulan jika perlu melupuskan jika ia benar satu kesilapan," ujarnya.

Terdahulu, seorang pemilik kenderaan Toyota Alphard berkenaan berkongsi surat saman JPJ yang diterima di laman sosial, Facebook selepas dia disaman kerana memandu di bawah had 110 km/j.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai dan sebelum ini pihak JPJ juga telah memaklumkan bahawa pihaknya akan melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.

Pada masa sama, pemilik kenderaan itu dalam hantaran berbeza turut berkongsi bahawa saman berkenaan telah dilupuskan kerana ia adalah satu kesilapan teknikal.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JPJ, saman, toyota alphard, AWAS, AES, kesilapan