SELEPAS Ronald Koeman dipecat sebagai pengurus Barcelona selepas kekalahan kepada Rayo Vallecano pada minggu lalu, nama legenda kelab, Xavi Hernandez hangat diperkatakan sebagai individu yang bakal mengisi kekosongan tersebut.
Sebelum Koeman dilantik pada Ogos tahun lalu, terdapat laporan mengatakan bahawa nama Xavi turut berada dalam senarai pilihan, tetapi tidak dipilih kerana tidak mempunyai pengalaman di Eropah.
Bagaimanapun, kali ini, walaupun dia masih lagi tidak memiliki pengalaman di Eropah, pengurusan Barca dilaporkan bersedia ‘memperjudikan’ nasib mereka di tangan bekas pemain antarabangsa Sepanyol yang kini menjadi pengurus kelab Qatar, Al Sadd itu.
Bukan sahaja kelab, peminat Barca juga dilihat tidak sabar menantikan legenda mereka kembali ke Camp Nou sebagai pengurus kelab.
Sesetengah pihak merasakan Barcelona akan melakukan kesilapan jika melantik Xavi memandangkan dia tidak mempunyai pengalaman menguruskan kelab di liga ternama Eropah.
Namun, bekas pemain Arsenal yang juga merupakan anak buah Xavi di Al Sadd, Santi Cazorla percaya, pengurusnya itu sudah bersedia menyahut cabaran mengendalikan gergasi Sepanyol itu.
Bercakap kepada radio Sepanyol, El Larguero, Cazorla berkata, Xavi merupakan seorang pengurus yang mempunyai pengetahuan luas tentang bola sepak dan tahu apa yang dia dimahukan di atas padang.
“Xavi mempunyai idea yang jelas tentang bola sepak. Dia mahukan (memiliki) bola dan menjadi protagonis. Dia akan melakukannya dalam mana-mana pasukan di dunia.
“Itulah yang Barca perlukan, untuk kembali kepada gaya mereka. Xavi amat sukakan penguasaan bola. Dia bergilir-gilir antara posisi 4-3-3 dan 3-4-3. Xavi sentiasa mahukan lebih banyak penguasaan bola,” katanya.
Tambah Cazorla, Xavi juga telah belajar banyak perkara dari bekas pengurusnya, Pep Guardiola ketika bermain untuknya dan cara pengurusannya adalah berdasarkan zaman kegemilangan Barca di bawah Guardiola.
Perkara itu turut diperakui oleh Guardiola yang menyokong bekas anak buahnya itu untuk mengambil alih Barca.
Pengurus Manchester City itu berasakan, Xavi sudah bersedia untuk tugas tersebut dan merupakan calon yang sempurna buat Barca.
“Xavi, jika ia berlaku, saya tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa dia sudah bersedia untuk melakukan tugas itu.
"Dia tahu persekitaran (kelab) yang merupakan perkara yang amat penting. Dia tahu permainan ini, dia mempunyai semangat.
"Dia mempunyai lebih banyak pengalaman sekarang berbanding ketika saya mengambil alih (Barcelona). Jika Xavi adalah pengurus seterusnya, saya mendoakan yang terbaik untuknya dan semoga pasukan dapat kembali selangkah demi selangkah,” katanya.
Untuk rekod, pada musim pertama Xavi menguruskan Al Sadd pada 2019, dia tidak berjaya memenangi liga tetapi hanya merekodkan lima kekalahan liga.
Pada musim seterusnya, Xavi berjaya memenangi liga dengan ‘rekod bersih’ tanpa kalah, dan pada musim ini, pasukannya juga tidak pernah tewas dan kini sedang menerajui takhta liga domestik. — Majoriti