Rodgers nafi akan ganti Solskjaer


  • Podium
  • Sabtu, 30 Okt 2021

RODGERS bertuah kerana mempunyai pihak pengurusan yang berjaya melakukan kerja mereka dengan baik. — Agensi

BRENDAN Rodgers memaklumkan bahawa dia bukan individu yang akan menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Manchester United.

Menurutnya yang merupakan pengendali Leicester itu, fokusnya kini hanyalah untuk membangunkan pasukan kendaliannya.

"Saya hanya mahu membawa skuad The Foxes ke peringkat yang lebih tinggi.

"Tumpuan saya sentiasa di sini bersama Leicester dan mahu membangunkan kelab bola sepak ini supaya dapat bersaing bersama pasukan elit Eropah dan untuk menjadi pencabar dalam mana-mana perlawanan," katanya.

Tambah bekas pengurus Liverpool itu, semua pihak di Leicester, daripada Ketua Eksekutif kepada Pengarah Bola Sepak, kakitangan, pemain, semua berada di landasan yang sama dan mempunyai visi yang serupa.

Mengulas lanjut Rodgers sangat gembira bersama Leicester.

Dia juga berasakan dirinya bertuah kerana mempunyai pihak pengurusan yang berjaya melakukan kerja mereka dengan baik.

“Kami mempunyai fasiliti dan infrastruktur yang membenarkan kami untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Selagi Leicester mahu khidmat saya, saya akan kekal kerana saya gembira berada disini," ujarnya.

Tambahnya, spekulasi dan gosip sebegini hanya akan mengganggu kestabilan pemain dan penyokong.

Manchester United sebelum ini menyenaraikan empat calon, termasuk bekas pengendali Liverpool, Brendan Rodgers sebagai potensi untuk menggantikan Solskjaer.

Dilaporkan, pengurusan tertinggi Red Devils mempertimbangkan kedudukan Solskjaer selepas dimalukan 0-5 oleh Liverpool di laman sendiri pada Ahad lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram