Hilang sosok ibu, mangsa kemalangan maut langgar anjing di Klang rupanya ibu tunggal, cekal urus 4 anak sendiri


  • Cinta
  • Rabu, 16 Jul 2025

Fatimatun dipercayai terbabas selepas cuba mengelak seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Merbau, Kapar, Selangor.

DALAM kecekalan mencari rezeki demi membesarkan empat orang anak sendirian, takdir menghentikan langkah seorang ibu tunggal yang selama ini memikul beban hidup dalam diam.

Menurut pengurus jenazah, Wan Cai, wanita bernama Fatimatun Zaharah Ismail Kamel, 44, meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa di hospital akibat kecederaan parah yang dialami selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada pagi Jumaat.

Arwah yang bekerja sebagai jururawat di Klinik Desa Sementa, Klang dipercayai terbabas selepas cuba mengelak seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Merbau, Kapar, Selangor. 

BACA LAGI: Gillian dedah bergelut masalah 'body dysmorphia', ketahui tanda-tanda gangguan mental ini, terlampau risau kekurangan fizikal

BACA LAGI: [VIDEO] Porsche 911 GT3 RS sentuhan kreatif Dua Lipa bakal dilelong, hasil bidaan disalurkan badan amal seni, budaya Kosovo

Kejadian berlaku sejurus selepas beliau menghantar anak ke rumah pengasuh dan sedang menuju ke tempat kerja.

Dalam hantaran di Facebook, Wan Cai turut memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memperlihatkan kemalangan itu.

Menurut Wan Cai, arwah merupakan ibu tunggal yang membesarkan keempat-empat anaknya seorang diri selepas berpisah dengan suami. 

Beliau juga anak sulung daripada tujuh beradik dan dikenali sebagai wanita penyayang yang sanggup mengetepikan kepenatan demi kebahagiaan keluarganya.

“Tidak ramai mampu hadap ujian hidup seperti arwah. Dia kuat luarannya, tetapi hanya ALLAH tahu luka dalamannya,” kata Wan Cai.

Wan Cai berkata, arwah mengalami hentakan kuat pada bahagian kepala. 

Setelah dimasukkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor keadaannya stabil untuk dua hari, sebelum tiba-tiba merosot dan disahkan meninggal dunia pada Ahad sekitar pukul 1.57 petang.

Namun, sesuatu yang luar biasa berlaku iaitu sekitar sejam kemudian iaitu ketika jenazah sedang dibawa ke Jabatan Forensik, nadi arwah dikesan kembali berdenyut. 

Pasukan perubatan segera memberikan bantuan pernafasan dan menyambung rawatan menggunakan mesin sokongan hayat.

Malangnya, pada pukul 6.47 petang hari yang sama, Fatimatun Zaharah disahkan meninggal dunia buat kali kedua.

“Dia berjuang sekuatnya untuk terus hidup, tetapi ALLAH lebih menyayanginya,” tulis Wan Cai.

Untuk rekod, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Chini Timur, Pekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram