
HASRAT seorang wanita untuk berkahwin tertunda hampir empat tahun selepas rahsia besar terbongkar iaitu dia bukanlah anak kandung seperti disangkakan, tetapi hanya anak angkat.
Namun, lebih mengejutkan, kemunculan ibu bapa kandung selepas 28 tahun sama sekali tidak membawa berita gembira, sebaliknya mencetuskan konflik baru apabila mereka enggan menikahkannya dan mahu dia berkahwin dengan pilihan mereka sendiri.
Situasi menjadi lebih rumit apabila permohonan wanita tersebut untuk menggunakan wali hakim ditolak, malah borang permohonannya didakwa dikoyakkan atas alasan wali nasab (ayah kandung) masih hidup.
Peguam Syarie, Asyraf A. Ranee menjelaskan bahawa dalam kes seperti ini, terdapat kekeliruan dari segi prosedur undang-undang yang menyebabkan permohonan wanita tersebut tidak berjaya.
“Wali hakim hanya boleh dipohon jika tiada wali nasab langsung. Contohnya seperti anak angkat yang tidak tahu siapa ibu bapa kandungnya, atau wali raib (hilang). Tetapi jika wali itu wujud dan diketahui, walaupun dia enggan menikahkan, permohonan yang sesuai ialah permohonan ‘wali enggan’," katanya kepada Majoriti.
Asyraf (gambar kecil) menjelaskan bahawa dalam kes terbabit, wanita itu seharusnya membuat permohonan bagi wali enggan.
Dalam konteks undang-undang keluarga Islam di Malaysia, 'wali enggan' merujuk kepada situasi apabila wali sah seperti bapa kandung yang masih hidup tetapi enggan menikahkan anaknya atas alasan tidak munasabah.
“Dalam kes ini, jika benar lelaki itu adalah bapa kandung dan tidak bersetuju kerana tidak mahu calon pilihan anaknya, wanita tersebut perlu memfailkan permohonan ‘wali enggan’ di Mahkamah Rendah Syariah,” katanya.
Asyraf berkata, prosesnya akan melibatkan wanita itu sebagai plaintif manakala bapa kandungnya dinamakan sebagai defendan.
Mahkamah kemudiannya akan menyemak alasan penolakan tersebut dan jika didapati tidak munasabah menurut hukum syarak, hakim boleh membenarkan pernikahan diteruskan menggunakan wali hakim.
“Kalau alasan si ayah hanyalah kerana dia ada calon sendiri untuk anaknya, sedangkan anak itu sudah cukup umur dan berakal serta memilih lelaki baik akhlaknya, maka mahkamah boleh mengisytiharkan bahawa wali tersebut enggan secara tidak munasabah,” katanya.
Prosedur perlu dilalui
Permohonan ‘wali enggan’ bermula dari pejabat agama Mahkamah Rendah Syariah.
Sekiranya wali tidak bersetuju menandatangani borang kebenaran berkahwin, pegawai pejabat agama akan mengeluarkan surat rujukan ke mahkamah dan memaklumkan jenis permohonan yang perlu difailkan dalam kes ini iaitu permohonan ‘wali enggan’.
Bagi wanita yang tidak arif tentang proses undang-undang, kesilapan dalam memilih jenis permohonan seperti terus memohon wali hakim boleh menyebabkan permohonan terbatal atau ditolak," katanya.
“Prosedur ini penting. Salah langkah, hasrat untuk berkahwin boleh tertangguh seperti yang berlaku kepada wanita ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram